Bukan sahaja Pusaka, Harta Sepencarian juga boleh dituntut jika kematian suami

0
Bukan sahaja Pusaka, Harta Sepencarian juga boleh dituntut jika kematian suami

Hari ini bertiup kencang kembali isu berkaitan dengan harta arwah Abam (Semoga Allah tempatkan bersama orang beriman) yang katanya disaman oleh balu arwah terhadap bekas adik iparnya. Rentetan itu, ada yang bertanya kepada saya, saman apa tu tuan?

Jawapannya, saya tak tahu sebab saya bukan peguamnya dan media hanya sebut saman.
Walau apa jua saman yang dibuat tersebut, perlu kita ingat. Ini perkara biasa sebab nak dapatkan perintah Mahkamah, nak jumpa Hakim, perlulah buat saman. Apa yang saya boleh katakan, bila sahaja kematian suami, isteri bukan sahaja berhak tuntut Pusaka, bahkan isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian.

Ini adalah hak yang boleh dikira sebagai hutang si mati kepada isterinya sebelum diselesaikan pembahagian pusaka. Setelah selesai pembahagian harta sepencarian, barulah diselesaikan pusaka.

Bila keadaan isteri boleh tuntut Harta Sepencarian?

1. Cerai

Isteri yang bercerai hidup dengan apa jua jenis perceraian sama ada secara baik, fasakh, tebus talak dan lain-lain tetap berhak untuk tuntut Harta Sepencarian meskipun isteri tersebut disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah Syariah.

2. Poligami

Jika suami berpoligami, isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian. Sebab itu penting untuk isteri pertama ke Mahkamah Syariah untuk tuntut hak harta sepencarian terus jika suami mohon poligami supaya mendapat terus perintah daripada Hakim.

3. Kematian

Jika suami meninggal dunia, isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian yang dibeli oleh suami dalam tempoh perkahwinan. Suami juga boleh tuntut Harta Sepencarian yang dibeli oleh isterinya jika isteri yang meninggal.

Siapa yang akan jadi Defendan?

Bagi kes pihak-pihak yang masih hidup, tuntutan harta sepencarian akan melibatkan bekas suami dan bekas isteri sahaja. Tetapi bagi suami atau isteri yang mati, pihak yang kena tuntut (Defendan) adalah ahli-ahli waris Simati termasuklah anak-anak simati yang mungkin masih kecil.

Apa harta yang boleh dituntut?

Semua harta yang dibeli dan diperolehi oleh suami seperti rumah, kereta, saham, syarikat, dan apa sahaja harta lain yang bernilai. Namun, jika harta tersebut diperolehi melalui pusaka atau hibah, harta tersebut tak boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian. Ini termasuklah harta yang dibeli sebelum kahwin.

Kalau harta tersebut masih dalam hutang, bagaimana?

Jika harta yang dituntut itu telah diisytiharkan sebagai Harta Sepencarian, pastinya, harta tersebut akan diperintahkan untuk dijual dan dibahagikan mengikut bahagian yang telah ditetapkan setelah ditolak segala hutang harta tersebut.

Kalau suami sahaja yang beli, tanpa isteri keluar duit?

Tak ada masalah sebab isteri tetap berhak untuk tuntut dengan alasan sumbangan tidak langsung. Contohnya membuat kerja-kerja rumah, menjaga anak dan lain-lain.

Kesimpulannya

Tak ada isu pun kalau balu nak tuntut Harta Sepencarian sebelum selesaikan pusaka. Lambat laun perkara ini pasti perlu dilalui. Banyak yang timbul isu pergaduhan keluarga bila masing-masing tak faham tentang hak yang telah ditetapkan Syarak dan Undang-undang.
Semoga penulisan ini membantu wanita-wanita lain yang kebuntuan mengenai haknya. Rileks, baru terima saman. Bukannya dah habis ruang keadilan. Semoga kes mereka dapat selesai dengan cara baik. Amin.

Fahmi Ramli

LEAVE A REPLY