Perbezaan Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power of Attorney)

Home » Harta Pusaka » Perbezaan Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power of Attorney)

Pernah dengar kisah waris faraid disaman pentadbir pusaka?

Ini kisah Makcik Kalsom (bukan nama sebenar). Beberapa hari lepas, salah seorang sahabat kita dalam page Hanaffi Idris call mengadu masalahnya. Masalahnya pentadbir nak saman waris faraid!!! Dia risau sehingga tidak boleh tidur malam, tak tahu nak rujuk siapa. Nak lantik lawyer sendiri tak mampu.

Puas Makcik Kalsom tanya sana sini, kebetulan Hanaffi post di facebook berkenaan tugas pentadbir, cepat-cepat Makcik Kalsom call Hanaffi. Maklumlah dah tua-tua nak kena risau pulak.

Pentadbir ugut, jika tak nak ikut arahnnya. Mereka bakal disaman. Mentang-mentang makcik tua, nak di bodoh-bodoh kan pula. Marah Hanaffi orang yang suka mengambil kesempatan keatas orang lain!

Hanaffi berjaya yakinkan Makcik Kalsom bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Selepas beberapa hari, Makcik Kalsom call.

“Terima kasih Hanaffi, makcik tak tahu la nak balas macam mana. Makcik doakan Hanaffi dimurahkan rezeki dan bantu lebih ramai orang yang macam makcik nie.”

Allah. Hanaffi tak terkata apa-apa… Okey, kembali kepada pembelajaran kita. Hanaffi nak anda tahu tentang tugas pentadbir.

Perbezaan Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power of Attorney).

A. Pentadbir Harta

1. Apa itu pentadbir harta?

Pentadbir harta merujuk kepada seseorang atau satu pihak yang dilantik sama ada oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup tetapi hanya berkuatkusa setelah beliau meninggal dunia kelak, atau dilantik oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk mentadbir dan menguruskan harta tuan tanah tersebut setelah beliau meninggal dunia bagi pihak waris si mati atau pihak-pihak tertentu, sebagaimana yang diputuskan oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, sehingga harta tersebut diserahkan secara sah berdasarkan undang-undang kepada waris-waris atau pihak-pihak tersebut.

2. Kenapa Pentadbir Harta dilantik?

Biasanya Pentadbir Harta dilantik sekiranya semasa si mati meninggal dunia terdapat waris-waris beliau yang masih bawah umur atau hilang upaya dari segi undang-undang untuk memiliki harta atau harta tersebut terdapat sesuatu sekatan tertentu yang mana perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ianya boleh diserahkan kepada waris atau pihak-pihak
tertentu.

3. Apa kedudukan Pentadbir Harta?

Kedudukan pentadbir harta hanyalah sekadar sebagai pengurus, pentadbir dan memegang amanah bagi pihak si mati sehinggalah harta tersebut diserahkan kepada waris yang sepatutnya atau sehingga kesemua pembahagian harta tersebut selesai.

4. Apa hak Pentadbir Harta?

Pentadbir harta tidak ada hak pemilikan atau kepentingan terhadap harta yang ditadbirnya melainkan beliau sendiri adalah salah seorang waris yang berhak menerima harta si mati tersebut. Ertinya beliau tidak ada kuasa secara otomatik untuk menjual atau memindahmilikkan harta tersebut kepada mana-mana pihak selain daripada waris-waris yang sah yang berhak menerima harta tersebut, melainkan ada suatu perintah daripada pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk berbuat demikian.

5. Siapa yang boleh dilantik menjadi Pentadbir Harta?

Pentadbir Harta boleh dilantik sama ada di kalangan waris si mati itu sendiri atau pihak-pihak lain yang difikirkan sesuai oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, misalnya Amanah Raya Berhad.

6. Berapa ramai Pentadbir Harta boleh dilantik?

Pentadbir Harta boleh dilantik lebih daripada seorang dan boleh digantikan dengan pentadbir harta lain sekiranya pentadbir harta itu gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah.

B. Pemegang Amanah

1. Apa itu Pemegang Amanah?

Pemegang Amanah adalah seseorang atau satu pihak yang dilantik oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan pemegang amanah dibuat.

2. Siapa yang melantik Pemegang Amanah?

Kebiasaannya Pemegang Amanah dilantik oleh tuan tanah itu sendiri untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab bagi pihak tuan tanah atau bagi pihak orang lain yang berkepentingan dengan tanah tersebut.

3. Kenapa Pemegang Amanah dilantik?

Misalnya Pemegang Amanah boleh dilantik sekiranya tuan tanah ingin menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya yang bawah umur atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut, misalnya seseorang yang cacat dan sebagainya.

Pemegang Amanah juga boleh dilantik untuk tujuan menguruskan dan memegang amanah bagi pihak orang lain yang mempunyai hak pemilikan dan kepentingan terhadap tanah tersebut tetapi hak pemilikan tersebut tidak dapat didaftarkan di dalam geran akibat kekangan undang-undang dan sebagainya.

Misalnya 5 orang pembeli dikalangan adik beradik atau rakan rapat berkongsi duit beli tanah pertanian berkeluasan 1 ekar untuk tujuan sama-sama uruskan urusan pecah lot. Memandangkan terdapat kekangan dari segi undang-undang yang mensyaratkan tanah pertanian hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu nama sahaja untuk setiap 1 ekar, maka
hanya salah seorang di kalangan 5 orang pembeli tersebut akan didaftarkan namanya di dalam geran.

Dan 4 orang pembeli yang lain akan melantik pembeli yang namanya didaftarkan dalam geran tadi sebagai Pemegang Amanah sebagai instrument sementara sebelum geran individu berstatus bangunan dikeluarkan dan pindahmilik dibuat daripada pemegang amanah kepada pemberi amanah.

4. Bagaimana nak pastikan Pemegang Amanah itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan Pemegang Amanah yang sah, satu surat cara Ikatan Amanah akan ditandatangani oleh pemberi amanah dan pemegang amanah. Surat Ikatan Amanah tersebut akan didaftarkan di Pejabat Tanah. Untuk melindungi hak dan kepentingan pemberi amanah atau pihak yang berkepentingan melalui Ikatan Amanah tersebut, mereka boleh memohon Pentadbir Tanah memasukkan Kaveat Amanah ke atas tanah tersebut.

5. Apa kuasa Pemegang Amanah?

Sama seperti Pentadbir Harta, Pemegang Amanah juga tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Ertinya Pemegang Amanah tidak boleh sewenang wenangnya menjual atau memindahmilikkan tanah tersebut kepada pihak-pihak lain melainkan dengan persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri.

C. Wakil Kuasa

1. Apa itu wakil kuasa?

Wakil kuasa adalah seseorang yang dilantik oleh tuan tanah sebagai wakilnya yang sah untuk melakukan sesuatu perkara atau tanggungjawab tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh tuan tanah tersebut berkenaan dengan tanahnya itu.

2. Apa kuasa wakil kuasa?

Wakil kuasa boleh mempunyai kuasa penuh (full power of attorney) atau terhad (limited power of attorney) bergantung kepada setakat mana kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

3. Apa kedudukan wakil kuasa?

Kedudukan wakil kuasa ini adalah sama seperti seolah-olah dia adalah tuan tanah itu sendiri, tertakluk kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

4. Bagaimana nak pastikan wakil kuasa itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan wakil kuasa ini, satu Surat Wakil Kuasa akan ditandatangani oleh tuan tanah dan wakil kuasa dan ianya hendaklah didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah berkenaan. Wakil kuasa akan terikat untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi pihak tuan tanah mengikut kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya.

 

5. Boleh ke kuasa wakil dibatalkan?

Kuasa-kuasa tadi boleh dibatalkan atau ditarik balik bergantung kepada jenis kuasa yang diberikan kepadanya. Wakil kuasa yang boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Revocable Power of Attorney, manakala Wakil kuasa yang tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Irrevocable Power of Attorney.

6. Apa hak wakil kuasa?

Tidak seperti Pentadbir Harta dan Pemegang Amanah, Wakil Kuasa mempunyai hak dan kuasa sama seperti hak dan kuasa tuan tanah ke atas tanah tersebut. Ertinya jika tuan tanah memberikan kuasa kepada wakil kuasa untuk menjual dan memindahmilkkan tanah tersebut kepada pihak lain, maka wakil kuasa tadi mempunyai kuasa tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Wakil Kuasa.

Kesimpulannya.

Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa mempunyai bidang kuasa, tanggungjawab dan hak-hak tertentu. Walaupun kelihatan sama antara satu sama lain, dari segi konsep dan perlaksanaannya amat berbeza.

Justeru masyarakat perlu faham tentang perbezaan tersebut supaya tidak keliru dan dapat mengelakkan penyelewengan yang boleh berlaku melalui kuasa-kuasa yang diberikan tersebut.

Hanaffi ucapkan terima kasih kepada En Salkukhairi Abd Sukor keatas maklumat yang lengkap tentang perkara yang dibincangkan.

Dapat sesuatu?

Sebarang kemuskilan boleh hubungi saya untuk pertanyaan di 016-5577653

atau

Whatsapp (klik button dibawah)


WhatsApp Untuk Pertanyaan

Share This Post

Dapat E-Book Hibah Percuma

Khas untuk anda

39 Responses

  1. Assalamualaikum Tuan Hanaffi, sekiranya dalam geran penama disebut sebagai Representative adakah ini dirujuk sebagai Wakil Kuasa? Sekiranya penama telah meninggal dunia boleh ke memohon untuk diganti dengan cucu kerana anak tunggal penama telah juga meninggal dunia. Sekian, terima kasih

  2. Assalamualaikum Tuan. Bagaimana sekiranya pemegang amanah meninggal dunia sebelum dia sempat menguruskan pindah milik kepada penerima harta? dan sekiranya pemegang amanah juga merupakan seorang waris yang berhak mengikut faraid, apakah waris2 beliau turut berhak ke atas harta tersebut?

    1. wasalam. Segala harta pemegang amanah perlu diuruskan dalam pusaka. Termasuk harta yang si mati memegang amanah.

      Berkaitan waris-waris beliau, jika harta yang dipegang olehnya diserahkan kepada bukan waris-warisnya, maka mereka pasti tidak layak. Tetapi bagi harta yang menjadi pusakanya, maka waris-waris si mati layak.

    1. en dah call saya kan. Terima kasih sbb call saya. 🙂

      semoga dipermudahkan urusan en.

    1. ok lantik lawyer. en pernah call. saya kan. semoga dipermudahkan urusan en. Amin 🙂

  3. Salam en hanaffi, bagaimana jika kita dilantik sebagai pentadbir/ penjaga amanah, tapi kita nk melepaskan title tu? Reason utk lepaskn sebab perlantikan tak dpt persetujuan sy, dan sy sydah berniat melepaakan hak saya ke atas harta tersebut. Mohon advice dr pigak tuan.

    1. wasalam.

      jika urusan di pusaka kecil, submit borang P untuk pembatalan pentadbir dan sain borang DDA untuk melepaskan hak.

      jika di mahkamah tinggi begitu juga, lantik peguam untuk uruskan pertukaran pentabir.

  4. Salam Tuan,
    Arwah nenek saya ada satu lot tanah, munurut kata ayah saya tanah tersebut kerajaan bagi (tanah pertanian) tanah berkelompok, arwah nenek dan ayah tak tahu kedudukan sebenar tanah tu dimana (geran tanah tersebut ada dalam simpanan ayah saya) , hasil pertanian dalam bentuk RM akan dikreditkan dalam akaun bank arwah nenek dan setelah nenek meninggal ayah saya telah mohon kuasa mentadbir tanah tersebut di bhagian pusaka kecil. Segala hasil masuk ke akaun bank ayah saya. 2 bulan lepas ayah saya meninggal. Pejabat tanah ada hantar notis bayaran tunggakan cukai tanah tersebut. Kami pon dah selesaikan urusan bayaran cukai tanah tersebut. Untuk makluman tuan, ayah saya ada 3 orng adik beradik kandung dan 3 orang adik beradik tiri (semua telah meninggal) masing2 ada isteri, anak dan cucu.

    Soalan saya,
    1. Adakah tanah tersebut menjadi harta pusaka setelah kematian nenek?
    2. Adakah hasil yang masuk setelah kematian nenek jadi harta pusaka yang perlu difaraidkan?
    3. Apa perlu saya buat pada tanah tersebut memandangkan ayah saya sbg pentadbir tanah tersebut telah meninggal?

    Mohon penjelasan dan terima kasih tuan.

    1. jawapan 1 dan 2 adalah ya. harta puska.

      3. kena uruskan harta pusaka nenek. untuk masukkan nama waris-waris yang berhak untuk uruskan. tetapi kes agak rumit dan saya percaya waris dah makin ramai.

  5. salam en hannafi ,

    Saya nak tanya berkaitan dengan harta pusaka arwah ayah saya .
    Arwah ayah saya meninggal ketika saya dan adik berusia 3 tahun dan 1 tahun .
    Harta pusaka arwah ayah saya ditadbir oleh arwah atok dan arwah nenek saya semasa dia hidup .
    Betul ke kalau saya nak masukkan nama saya sebagai pentadbir untuk keluarkan gran , dan ingin batalkan nama arwah atok dan arwah nenek saya perlu mencari anak2 atok dan nenek saya (adik beradik arwah ayah) untuk dapatkan persetujuan ?
    Saya dah lakukan pencarian hak milik harta tersebut dan harta tersebut masih hakmilik arwah ayah saya .

    1. wasalam. jika harta tersebut masih nama ayah, jadi memang ayah punya.

      jadi terus buat urusan pusaka atas nama arwah saja. apa2 jika perlukan individu untuk bantu urusakan boleh wasap saya 0165577653

  6. Salam Tn Hanaffi,
    Surau di kawasan perumahan saya tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri, Salah seorang anak qariah berhajat untuk mewakafkan tanahnya dengan niat hasil tanah tersebut dapat dimanfaatkan oleh pihak surau.Mesyuarat memutuskan untuk menamakan 5 anak qariah sebagai pemegang amanah untuk mengelola tanah tersebut dengan beberapa syarat pemegang amanah tidak boleh dipindah milik.
    Mohon sekiranya pihak tuan dapat berkongsi rangka surat ikatan amanah yang perlu saya sediakan

  7. Assalamualaikum En Hanafi,

    Rumah yang saya duduki sekarang ini atas nama bersama ayah dan ibu saya. Mereka sudah memberitahu dihadapan adik beradik saya yang lain bahawa rumah ini akan diserahkan kepada saya sekiranya mereka tiada kelak. Ibu saya juga sudah membuat wasiat / hibah amanah dengan menyatakan perkara diatas. Akan tetapi ibu saya risau sekiranya wasiat / hibah amanah yang dibuat tidak dipersetujui oleh waris dari keluarga belah ayah ( atuk dan ayah saudara saya), maka wasiat / hibah amanah itu tidak dapat dilaksanakan. Soalan saya:
    1. apakah kaedah terbaik supaya ayah ibu saya dapat menyerahkan rumah ini kepada saya dgn cara selamat?
    2. Adakah tukar hak milik rumah ini kepada nama saya dikira hibah?
    3. Adakah dengan Surat Ikatan Amanah yang didaftarkan di Pejabat Tanah membolehkan saya menuntut rumah ini sebagai harta pusaka selepas kematian mereka?

    Mohon penjelasan dri pihak tuan. Terima Kasih.

    1. terus tukar hak milik, tetapi tak bagus juga jika cik meninggal dulu. susah ibubapa pula.

      jika boleh buat dokumen hibah dengan syarikat amanah, lebih selamat. apa2 boleh hubungi saya 0165577653

  8. Salam. En Hanafi, saya ingin bertanya, selepas bapa saudara meninggal dunia, ada seorang peguam mendakwa menjadi pemegang amanah tetapi tiada surat perjanjian antara dia dgn simati. Cuma cakap mulut sahaja. Sahkah apa yang dikatakan oleh peguam ini? Saya takut ditipu beliau

  9. Bolehkah pentadbir disaman oleh waris? Pentadbir faraid cuma buat carian resmi di satu tempat sahaja sedangkan simati tinggal di negeri lain.

    1. pentadbir tu dikalangan waris ke? pada saya tak wajar saman pentadbir jika itu saja maklumat hartanah yang si mati ada, melainkan maklumat telah diberi tetapi pentadbir dengan sengaja melambat urusan.

  10. slm, nk tanya sal isu kuasa mentadbir oleh pjabat tanah kepada waris si mati seorg.. kami sudah dapat borang F ( kuasa untuk mentadbir ) adakah kami sudah layak untuk jual harta tersebut atau perlu tunggu surat wakil kuasa ?

    1. jika jual dikalangan waris xde masalah.

      jika jual kepada bukan waris, perlu mendapatkan perintah penjualan pula.

  11. Assalammualaikum. Saya merupakan pentadbir harga Pusaka emak manakala adik saya merupakan pentadbir Pusaka arwah ayah. Kali Pertama adik saya caras saya sbg pentadbir Pusaka ayah tanpa berbincang dgn saya. Saya sabar dan mengalah. Kemudiannya saya memohon sbg pentadbir Pusaka Arwah emak dan saya mengambil masa memujuk waris yakni kakak ipar menyerahkan rumah sewa utk saya faraidkan. Sekrg adik saya memohon sbg pentadbir kedua Pusaka emak sedangkan dia sudah jadi pentadbir Pusaka ayah dan agihan belum selesai dan dia sendiri menggunakan rumah Pusaka utk peribadi.
    Soalan saya, boleh kah adik saya gugurkan saya sbg pentadbir walau saya sudah ada Surat pentadbir.

  12. assalam …
    mana yang patut didahulukan…
    beli aset atas nama amanah kemudian baru buat trust deed atau
    buat trust deed baru beli aset
    tk

    1. jika nak buat trust deed, perlu aset tu atas nama en. Jika harta tu atas nama orang lain susah nak berurusan nanti.

  13. Salam sejahtera, saya ingin bertanya pemilik tanah (adik beradik) memberi kuasa kepada saya untuk mendirikan sekolah persendirian di tanah milik mereka, adakah perlu buat surat kuasa atau pentadbir untuk saya melakukan urusan dan tukar hak milik dari pertanian ke pembangunan.

    Terima kasih.

    1. saya cadang lantik pentadbir, tetapi jika untuk mendapat pahala yang berterusan dan diuruskan dengan baik. Saya cadang berurusan dengan pihak wakaf untuk penerangan lanjut.

  14. Assalammualaikum wbkt. Bapa saya pemegang kuasa tadbir arwah ibu saya dan salah satu tanah yg ditadbirnya ada nama arwah ibu saya dan arwah dato saya. Pakcik saya pula menjadi pentadbir tanah arwah dato saya itu. Soalan saya, jika nama bhgn arwah ibu saya bapa saya tukarkan kepada abang saya, bolehkah abang saya pecah geran itu menjadi individu memandangkan harta pusaka arwah dato saya sudah puluhan tahun tidak dapat diselesaikan atas isu waris.. geran tanah itu hanya ada keluasan tanah arwah ibu 1/2..tapi tiada pembahagian kawasan. Mohon pencerahan. Terima kasih

    1. kena selesaikan dulu bahagian dato, jika terus buat dikuatiri akan datang akan timbul masalah.

      apa yg pending / masalah tanah atok?

Leave a Reply to Anas Anaqi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nak kami bantu anda?

Hubungi segera untuk sesi konsultansi percuma

© 2021 SEZARAH NUR VENTURE (SA0388691-M) . All rights reserved

hanaffi.com

error: Content is protected !!