Pembahagian Faraid: Asas Harta Pusaka Islam

Pembahagian faraid harta pusaka orang Islam
Home » Faraid » Pembahagian Faraid: Asas Harta Pusaka Islam

Dikemas kini pada 2 Ogos 2026.

Pembahagian faraid menentukan siapa yang berhak menjadi waris dan berapa bahagian yang diterima daripada pusaka bersih seseorang Islam yang meninggal dunia.

Namun, faraid bukan langkah pertama selepas kematian. Sebelum harta dibahagikan, keluarga perlu mengenal pasti harta yang benar-benar dimiliki oleh si mati, mengasingkan hak pihak lain, menyelesaikan kos pengurusan jenazah yang munasabah, membayar hutang dan melaksanakan wasiat yang sah. Baki selepas urusan tersebut diselesaikan barulah menjadi pusaka bersih untuk diagihkan.

Sebab itu, soalan “Siapa dapat rumah?” atau “Anak lelaki dapat berapa?” belum boleh dijawab dengan tepat jika senarai harta, hutang dan waris masih belum lengkap.

Nota penting: Artikel ini menerangkan asas pembahagian faraid. Kiraan sebenar boleh berubah apabila terdapat tuntutan harta sepencarian, hibah, wasiat, penamaan, waris bawah umur, waris yang meninggal kemudian, waris yang terhalang atau isu pemilikan lain.

Ringkasnya

PerkaraPenerangan ringkas
FaraidMenentukan waris yang berhak dan kadar bahagian mereka
Harta yang dibahagikanPusaka bersih, bukan jumlah kasar semua aset
Nisbah 2:1Terpakai dalam keadaan tertentu, bukan untuk semua lelaki dan perempuan
MuafakatBoleh dipertimbangkan apabila semua waris yang berhak mengetahui hak masing-masing dan bersetuju tanpa paksaan
Sijil atau Perintah FaraidMembantu mengesahkan waris dan bahagian, tetapi tidak semestinya menjadi dokumen kuasa untuk memindahkan semua aset
Kalkulator faraidSesuai untuk anggaran awal, bukan pengesahan akhir

Apa Maksud Pembahagian Faraid?

Perkataan faraid berasal daripada istilah Arab yang membawa maksud sesuatu yang telah ditentukan. Dalam urusan pusaka, ilmu faraid membincangkan:

  • siapakah yang boleh menjadi waris;
  • sebab seseorang berhak mewarisi;
  • keadaan yang menghalang atau mendinding seseorang waris;
  • kadar bahagian yang ditetapkan;
  • kaedah mengira bahagian apabila beberapa waris berhimpun.

Asas hukum pusaka diterangkan dalam Surah al-Nisa’, khususnya ayat 7, 11, 12 dan 176. Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa waris lelaki dan perempuan yang layak mempunyai hak yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, pembahagian faraid bukan sekadar memasukkan nama waris ke dalam formula. Tiga perkara perlu disahkan terlebih dahulu:

  1. apakah harta yang benar-benar menjadi pusaka;
  2. siapakah yang masih hidup ketika si mati meninggal dunia;
  3. apakah tuntutan dan tanggungan yang perlu diselesaikan sebelum agihan.

Kesilapan pada salah satu perkara ini boleh mengubah keseluruhan kiraan.

Faraid Menentukan Hak, Bukan Terus Memindahkan Harta

Faraid menentukan hak waris. Pentadbiran pusaka pula memberikan kuasa yang sah untuk mengumpulkan, menguruskan dan memindahkan aset.

Oleh itu, waris tidak boleh terus mengeluarkan wang bank, menjual rumah atau menukar nama tanah hanya kerana pecahan faraid sudah diketahui. Bank, Pejabat Tanah, JPJ, institusi pelaburan dan agensi lain lazimnya memerlukan perintah atau surat kuasa yang sesuai sebelum aset dapat dituntut atau dipindahkan.

Selepas memahami hak faraid, rujuk juga panduan cara menguruskan harta pusaka selepas kematian untuk melihat proses daripada penyediaan maklumat sehingga pelaksanaan perintah.

Apakah Harta Yang Menjadi Pusaka?

Secara umum, harta pusaka meliputi harta, hak dan kepentingan yang dimiliki oleh si mati ketika kematian. Antaranya boleh melibatkan:

  • tanah, rumah atau bahagian pemilikan dalam hartanah;
  • wang simpanan, pelaburan dan saham;
  • kenderaan dan barang kemas;
  • kepentingan dalam perniagaan;
  • wang sewa atau dividen yang belum diterima;
  • hutang orang lain kepada si mati;
  • hak kewangan lain yang masih wujud.

Nama si mati pada dokumen tidak semestinya bermaksud keseluruhan aset itu boleh terus dimasukkan dalam pembahagian faraid. Sebagai contoh, rumah mungkin dimiliki bersama, tanah mungkin hanya mempunyai bahagian tertentu, atau pasangan mungkin mempunyai tuntutan harta sepencarian.

Kesan penamaan juga berbeza mengikut jenis aset dan dokumen. Waris tidak sepatutnya menganggap semua aset berpenama terkeluar daripada pusaka atau penama sentiasa menjadi pemilik mutlak.

Turutan Sebelum Pembahagian Faraid

Pembahagian tidak dibuat terhadap jumlah kasar semua aset. Turutan umum berikut perlu diberi perhatian.

1. Tentukan bahagian yang benar-benar milik si mati

Asingkan hak pihak lain sebelum mengira pusaka. Jika hartanah mempunyai dua pemilik, hanya bahagian milik si mati dipertimbangkan. Sekiranya terdapat tuntutan harta sepencarian, keputusan atau persetujuan yang sah tentang hak pasangan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

2. Selesaikan kos pengurusan jenazah yang munasabah

Kos keperluan pengurusan jenazah boleh diambil daripada harta si mati pada kadar yang munasabah. Perbelanjaan yang berlebihan atau tidak berkaitan tidak sepatutnya mengurangkan hak waris sesuka hati.

3. Bayar hutang dan tanggungan yang sah

Hutang kepada manusia serta tanggungan lain yang sah perlu dikenal pasti. Kumpulkan penyata, perjanjian, resit atau rekod transaksi supaya tuntutan dapat disemak.

Waris tidak wajar membahagikan wang terlebih dahulu dengan alasan hutang akan dibayar kemudian. Bahagian yang sudah diambil mungkin sukar dikumpulkan semula.

4. Laksanakan wasiat yang sah

Secara umum, wasiat kepada bukan waris tertakluk kepada had sehingga satu pertiga daripada harta bersih selepas hutang. Wasiat kepada waris atau wasiat yang melebihi had tersebut memerlukan penelitian lanjut dan persetujuan yang berkaitan.

Wasiat tidak menggantikan faraid. Baki selepas wasiat yang sah tetap menjadi pusaka untuk waris yang layak.

5. Tentukan pusaka bersih

Jumlah yang tinggal selepas hak dan tanggungan diselesaikan ialah pusaka bersih untuk tujuan pembahagian faraid.

Aliran menentukan pusaka bersih sebelum pembahagian faraid

Formula ringkas: Harta milik si mati – hak pihak lain – kos jenazah munasabah – hutang – wasiat sah = pusaka bersih untuk faraid.

Siapa Yang Perlu Diperiksa Sebelum Pembahagian Faraid?

Senarai waris tidak dibuat berdasarkan siapa yang tinggal bersama si mati, paling banyak membantu atau hadir dalam mesyuarat keluarga.

Antara kumpulan yang perlu diperiksa ialah:

  • suami atau isteri;
  • ibu dan bapa;
  • anak lelaki dan anak perempuan;
  • cucu melalui anak lelaki dalam keadaan tertentu;
  • datuk dan nenek dalam keadaan tertentu;
  • saudara kandung, saudara sebapa atau saudara seibu dalam keadaan tertentu;
  • kerabat lain apabila waris yang lebih dekat tidak wujud.

Hubungan keluarga sahaja tidak menjamin seseorang menerima bahagian. Dalam faraid, waris tertentu boleh terhalang kerana terdapat waris yang lebih dekat dengan si mati.

Contohnya, adik-beradik lazimnya tidak menerima bahagian apabila si mati meninggalkan anak lelaki atau bapa. Namun, kedudukan mereka boleh berubah apabila waris penghalang tidak wujud.

Status waris dinilai pada waktu kematian. Jika seorang waris hidup ketika si mati meninggal dunia tetapi meninggal sebelum pusaka selesai, haknya dalam pusaka pertama tidak hilang. Bahagian tersebut boleh menjadi pusaka baharu kepada warisnya pula.

Waris bawah umur atau tidak berkeupayaan

Hak kanak-kanak dan individu yang tidak berkeupayaan tidak boleh diketepikan sesuka hati oleh waris dewasa. Bahagian mereka perlu dikekalkan dan diurus melalui penjaga atau pemegang amanah mengikut proses yang sah.

Persetujuan waris dewasa tidak semestinya boleh digunakan untuk melepaskan hak waris bawah umur.

Checklist maklumat waris untuk pembahagian faraid

Bahagian Faraid Asas Yang Sering Ditanya

Jadual ini menunjukkan kadar asas beberapa waris utama. Ia bukan carta lengkap dan tidak boleh digunakan tanpa menyemak semua waris yang hidup.

WarisBahagian asasKeadaan umum
Suami1/2Isteri yang meninggal dunia tidak mempunyai keturunan yang mewarisi
Suami1/4Isteri yang meninggal dunia mempunyai keturunan yang mewarisi
Isteri atau para isteri1/4 secara bersamaSuami yang meninggal dunia tidak mempunyai keturunan yang mewarisi
Isteri atau para isteri1/8 secara bersamaSuami yang meninggal dunia mempunyai keturunan yang mewarisi
Seorang anak perempuan1/2Tiada anak lelaki
Dua atau lebih anak perempuan2/3 secara bersamaTiada anak lelaki
Anak lelaki bersama anak perempuanBaki pada nisbah 2:1Selepas bahagian waris fardu diselesaikan
IbuLazimnya 1/3, 1/6 atau 1/3 bakiBergantung pada keturunan, bilangan saudara dan kes khusus
BapaBoleh menerima 1/6, baki atau kedua-duanyaBergantung pada struktur waris dan keturunan si mati

Rujukan kadar dan syarat yang lebih terperinci boleh disemak melalui Waris Fardu E-Faraid MAIS. Untuk rujukan yang lebih terperinci tentang pecahan dan syarat asas setiap kategori waris, lihat Jadual Faraid: Kadar & Syarat Bahagian Waris.

Adakah lelaki sentiasa mendapat dua kali ganda daripada perempuan?

Tidak.

Nisbah dua bahagian untuk lelaki dan satu bahagian untuk perempuan digunakan dalam susunan tertentu, misalnya anak lelaki bersama anak perempuan pada darjat yang sama. Banyak keadaan lain mempunyai kadar berbeza.

Sebagai contoh, ibu boleh mendapat bahagian tetap, isteri boleh mendapat 1/4 atau 1/8, dan saudara seibu lelaki serta perempuan boleh berkongsi pada kadar yang sama dalam keadaan tertentu. Oleh sebab itu, slogan “lelaki sentiasa dapat dua kali ganda” tidak tepat sebagai kaedah umum.

Mahu memahami urusan pusaka dengan lebih tersusun? Pembahagian faraid hanyalah satu bahagian daripada keseluruhan proses. Buku Pusaka Dibiarkan, Waris Terbeban membantu waris memahami mengapa pusaka perlu diselesaikan dan perkara yang perlu disusun sejak awal. Dapatkan buku saya sekarang.

Contoh Mudah Pembahagian Faraid

Contoh ini hanya untuk menunjukkan kaedah asas. Ia bukan keputusan bagi mana-mana keluarga sebenar.

Seorang lelaki meninggal dunia dengan pusaka bersih RM120,000. Waris yang masih hidup ialah:

  • seorang isteri;
  • seorang anak lelaki;
  • dua orang anak perempuan.

Ibu dan bapa si mati telah meninggal dunia lebih awal. Tiada waris lain, hutang, tuntutan atau isu yang mengubah kiraan.

Langkah 1: Bahagian isteri

Si mati mempunyai anak. Oleh itu, isteri menerima 1/8:

RM120,000 × 1/8 = RM15,000

Langkah 2: Tentukan baki untuk anak-anak

RM120,000 – RM15,000 = RM105,000

Anak lelaki dan anak perempuan menerima baki pada nisbah 2:1.

Jumlah unit:

  • dua unit untuk anak lelaki;
  • satu unit untuk anak perempuan pertama;
  • baki satu unit untuk anak perempuan kedua.

Jumlah keseluruhan ialah 4 unit. Nilai satu unit ialah:

RM105,000 ÷ 4 = RM26,250

Maka pembahagiannya:

WarisBahagianNilai
Isteri1/8RM15,000
Anak lelaki2 unitRM52,500
Anak perempuan pertama1 unitRM26,250
Anak perempuan kedua1 unitRM26,250
JumlahRM120,000

Untuk contoh lain yang memfokuskan aset berbentuk wang dan langkah pengiraan, baca panduan pengiraan faraid wang tunai.

Kiraan akan berubah jika ibu atau bapa si mati masih hidup, terdapat anak lain, waris meninggal kemudian atau pusaka bersih bukan RM120,000.

Bolehkah Pembahagian Faraid Dibuat Secara Muafakat?

Boleh, apabila semua waris yang berhak benar-benar bersetuju dan memahami hak masing-masing.

Pembahagian secara muafakat bukan bermaksud faraid diketepikan sejak awal. Hak dan kadar faraid perlu dikenal pasti supaya setiap waris mengetahui perkara yang dipersetujui, dilepaskan atau diberikan kepada waris lain.

Kaedah seorang waris menarik diri daripada menerima sebahagian atau keseluruhan haknya dikenali sebagai takharuj. Ia boleh berlaku dengan atau tanpa balasan, tertakluk kepada persetujuan yang jelas.

Sebelum bersetuju, pastikan:

  • semua waris yang berhak telah dikenal pasti;
  • jumlah pusaka bersih diketahui;
  • kadar faraid setiap waris telah diterangkan;
  • tiada paksaan, ugutan atau maklumat yang disembunyikan;
  • persetujuan direkodkan melalui dokumen dan proses yang sesuai;
  • hak waris bawah umur atau tidak berkeupayaan dilindungi.

JKPTG menyatakan pembahagian secara sama rata atau muafakat boleh dibuat jika semua waris yang berhak bersetuju. Penerangan lanjut mengenai penarikan hak boleh dibaca melalui Takharuj E-Faraid MAIS.

Untuk contoh apabila semua atau hanya sebahagian waris bersetuju, baca cara pembahagian harta pusaka yang adil melalui faraid, muafakat dan sama rata.

Perlukah Mendapatkan Sijil atau Perintah Faraid?

Keperluannya bergantung pada saluran pentadbiran, dokumen, negeri dan keadaan kes.

Secara umum, Sijil atau Perintah Faraid membantu mengesahkan waris yang berhak dan kadar bahagian mereka. Namun, pengesahan faraid tidak semestinya menjadi dokumen kuasa untuk mengeluarkan wang bank, menjual harta atau mendaftarkan pindah milik.

Untuk penerangan proses permohonan, baca panduan cara mendapatkan Sijil Faraid dan semak kehendak Mahkamah Syariah negeri berkaitan.

Waris mungkin masih memerlukan Perintah Pembahagian, Surat Kuasa Mentadbir atau dokumen lain daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa. Semak kehendak Mahkamah Syariah dan agensi yang mengendalikan aset sebenar.

Elakkan menggunakan satu senarai borang, bilangan saksi atau tempoh siap bagi semua negeri kerana prosedur boleh berbeza.

Apa Berlaku Selepas Bahagian Faraid Diketahui?

Langkah seterusnya ialah memilih saluran pentadbiran yang betul, mengemukakan permohonan, mendapatkan perintah atau kuasa dan melaksanakan dokumen tersebut pada setiap agensi berkaitan.

Sebagai contoh, pusaka kecil semasa boleh terdiri daripada harta alih sahaja, harta tak alih sahaja atau gabungan kedua-duanya dengan nilai keseluruhan tidak melebihi RM5 juta pada tarikh permohonan, tertakluk kepada syarat berkaitan.

Untuk memahami saluran tersebut, baca panduan lengkap urusan harta pusaka kecil.

Pecahan faraid yang betul tetapi tidak disusuli proses pentadbiran masih belum memindahkan rumah, tanah, wang atau kenderaan kepada penerima.

Bolehkah Menggunakan Kalkulator Faraid?

Kalkulator boleh membantu membuat anggaran awal, terutama bagi struktur waris yang mudah.

Namun, jawapan kalkulator bergantung pada maklumat yang dimasukkan. Ia boleh tersasar apabila pengguna:

  • tertinggal nama waris;
  • memasukkan orang yang sebenarnya terhalang;
  • tidak membezakan pusaka kasar dengan pusaka bersih;
  • terlepas kes awl, radd, umariyyatain atau keadaan khas lain;
  • tidak mengambil kira kematian berlapis;
  • menganggap semua aset ialah milik penuh si mati.

Gunakan kalkulator untuk memahami gambaran awal, bukan sebagai dokumen muktamad untuk mengambil atau memindahkan harta.

Kesilapan Dalam Pembahagian Faraid Yang Sering Berlaku

Membahagikan jumlah kasar

Waris terus membahagikan nilai rumah dan wang simpanan tanpa menyelesaikan hak pihak lain, hutang atau wasiat.

Menganggap anak sulung mempunyai kuasa mutlak

Kedudukan sebagai anak sulung tidak memberikan hak mengambil semua dokumen, wang atau membuat keputusan seorang diri.

Menggunakan formula 2:1 untuk semua keadaan

Nisbah tersebut hanya terpakai pada susunan tertentu. Kadar pasangan, ibu, bapa dan waris lain mempunyai syarat tersendiri.

Menganggap persetujuan lisan sudah mencukupi

Persetujuan boleh dipertikaikan apabila pembahagian tidak direkodkan dengan jelas atau seorang waris mendakwa tidak memahami haknya.

Menyamakan kiraan dengan kuasa mentadbir

Mengetahui pecahan tidak bermaksud waris sudah mempunyai kuasa untuk menuntut, menjual atau memindahkan aset.

Tidak menyemak tarikh kematian setiap waris

Urutan kematian penting. Waris yang hidup pada tarikh kematian si mati mungkin memperoleh hak walaupun dia meninggal sebelum pusaka pertama selesai.

Pengamatan Profesional Hanaffi

Dalam urusan pusaka, kekeliruan biasanya bukan bermula pada pecahan matematik. Masalah lebih awal berlaku apabila keluarga belum mempunyai senarai waris yang lengkap, tidak tahu aset sebenar dan terus berbincang tentang pembahagian sebelum hutang serta pemilikan disemak.

Secara praktikal, perbincangan keluarga menjadi lebih jelas apabila proses dipecahkan kepada tiga soalan:

  1. Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka?
  2. Siapakah yang berhak pada tarikh kematian?
  3. Dokumen kuasa apakah yang diperlukan untuk melaksanakan pembahagian?

Apabila tiga perkara ini disusun, barulah pengiraan faraid boleh digunakan pada asas yang betul.

Langkah Awal Yang Boleh Dibuat Oleh Waris

  1. Dapatkan sijil kematian dan dokumen hubungan keluarga.
  2. Senaraikan semua waris serta status hidup atau meninggal dunia.
  3. Kumpulkan dokumen tanah, rumah, bank, pelaburan, kenderaan dan perniagaan.
  4. Catat hutang, tuntutan, wasiat, hibah, penamaan dan kemungkinan harta sepencarian.
  5. Tentukan jumlah pusaka bersih sebelum membuat pengiraan.
  6. Dapatkan pengesahan kadar waris apabila struktur keluarga tidak mudah.
  7. Pilih saluran pentadbiran berdasarkan jenis, nilai dan lokasi harta.
  8. Rekodkan sebarang muafakat secara jelas melalui proses yang sesuai.
  9. Laksanakan perintah pada setiap institusi sehingga aset benar-benar dipindahkan.

Soalan Lazim

Adakah hutang dibayar selepas pembahagian faraid?

Tidak. Hutang dan tanggungan yang sah perlu diselesaikan sebelum baki pusaka bersih dibahagikan.

Adakah semua anak lelaki mendapat dua kali ganda daripada semua perempuan?

Tidak. Nisbah 2:1 digunakan dalam keadaan tertentu, seperti anak lelaki bersama anak perempuan pada darjat yang sama. Waris lain mempunyai kadar dan syarat berbeza.

Bolehkah waris membahagikan harta sama rata?

Boleh jika semua waris yang berhak mengetahui hak faraid masing-masing dan bersetuju tanpa paksaan. Hak waris bawah umur atau tidak berkeupayaan perlu dilindungi.

Adakah kalkulator faraid mencukupi?

Tidak semestinya. Kalkulator hanya mengira berdasarkan maklumat yang dimasukkan dan mungkin tidak mengesan isu pemilikan, waris terhalang, kematian berlapis atau kes khas.

Adakah Sijil Faraid membolehkan wang terus dikeluarkan?

Tidak semestinya. Institusi mungkin memerlukan Perintah Pembahagian, Surat Kuasa Mentadbir atau dokumen kuasa lain sebelum aset diserahkan.

Apakah berlaku jika seorang waris meninggal sebelum pusaka selesai?

Jika dia masih hidup ketika kematian pertama berlaku, haknya pada pusaka tersebut boleh menjadi sebahagian daripada pusakanya sendiri. Susunan waris bagi setiap kematian perlu diperiksa berasingan.

Kesimpulan

Pembahagian faraid bermula dengan pengesahan, bukan terus dengan kiraan. Waris perlu menentukan harta milik si mati, menyelesaikan hak dan tanggungan, mengenal pasti semua waris, kemudian barulah mengira pusaka bersih.

Selepas bahagian diketahui, keluarga masih perlu mendapatkan dokumen kuasa yang sesuai dan melaksanakan perintah pada agensi berkaitan. Muafakat boleh menjadi penyelesaian yang baik, tetapi persetujuan mesti dibuat secara sedar, sukarela dan selepas hak setiap waris difahami.

Penafian

Artikel ini disediakan untuk pendidikan umum. Kelayakan waris, kadar pembahagian, bidang kuasa dan dokumen yang diperlukan bergantung pada fakta serta undang-undang yang terpakai bagi setiap kes. Prosedur di Sabah dan Sarawak juga boleh berbeza. Dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa atau profesional yang berkaitan sebelum membuat pembahagian sebenar.

Perlu Bantuan Menyusun Kes Pusaka?

Jika keluarga masih belum pasti siapa waris yang perlu disenaraikan, harta mana yang menjadi pusaka atau saluran pentadbiran yang sesuai, jangan mulakan pembahagian berdasarkan andaian.

Hubungi Hanaffi untuk berbincang tentang maklumat dan dokumen awal yang perlu disusun bagi urusan pusaka keluarga anda.

Share This Post

Dapat E-Book Hibah Percuma

Khas untuk anda

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Masih Perlukan Bantuan Menguruskan Pusaka?​

hanaffi idris

© 2026 SEZARAH NUR VENTURE (SA0388691-M). Hak cipta terpelihara.

hanaffi.com

error: Content is protected !!
Scroll to Top