Urusan harta pusaka dalam Islam adalah penting bagi umat Muslim di Malaysia. Berikut adalah beberapa langkah yang dapat diambil untuk menguruskan harta pusaka Islam dengan berkesan di Malaysia:
Kenapa kita kena fahami proses ini adalah, bila untuk menbuat persiapan sebelum berlaku kematian dan memudahkan dan mempercepatkan proses urusan harta pusaka.
Antara sebab terlampau banyak harta tidak dituntut orang Islam adalah kerana mereka tidak paham berkenaan pentadbiran harta pusaka dan akhirnya memakan masa berpuluh tahun untuk selesai.
Untuk fahami proses ini kita bahagikan kepada dua bahagian. Sebelum berlaku kematian dan selepas berlaku kematian.
Ada kes yang dimana proses pengurusan harta pusaka ini hanya mengambil masa kurang 3 bulan untuk selesai. Hal ini kerana semua waris memahami proses dan mempunyai hubungan yang baik.
1. Waris Wajib Memahami Hukum Faraid (Sebelum Kematian).
Hukum faraid adalah undang-undang Islam yang mengatur pemindahan harta pusaka. Penting untuk mempelajari dan memahami prinsip-prinsip faraid yang berkaitan dengan pembahagian harta pusaka di antara waris-waris yang ditetapkan secara syarak. Ini termasuk penentuan nisbah pembahagian dan penerimaan hak masing-masing waris.
Untuk baca soalan lazim, kalkulator, kajian kes mahkamah dan pertanyaan dengan berkaitan faraid boleh tekan disini untuk lihat secara detail.
2. Menyusun Wasiat & Membuat Perancangan Melalui Instrumen Islam (Sebelum Kematian).
Sebagai sebahagian daripada pengurusan harta pusaka, anda boleh menyusun wasiat Islam. Wasiat ini boleh digunakan untuk mengiktiraf niat anda dan mengarahkan pemindahan harta pusaka di luar batasan faraid, dalam hal-hal seperti mewarisi harta kepada organisasi amal, meninggalkan harta untuk tujuan kebajikan, atau memberikan harta kepada individu yang bukan waris secara sah.
Untuk baca soalan lazim seperti, adakah saya perlu kepada wasiat jika sudah ada faraid, cara wasiat hak penjagaan anak, kajian kes harta pusaka di mahkamah dan pertanyaan lanjut boleh tekan disini untuk lihat (Rujuk blog bacaan).
3. Kenalpasti Harta & Hutang (Sebelum Kematian).
Langkah berikutnya adalah menyenaraikan dan mencatat inventori harta pusaka. Ini termasuk aset bergerak seperti harta benda, wang tunai, perhiasan, serta aset tidak bergerak seperti tanah, rumah, dan hartanah dan lain lain. Mudahkan urusan waris anda, dengan sentiasa membuat pengisytiharan harta atau menyimpan rekod harta dan hutang untuk rujukan mereka.
Kenalpasti harta-harta ataupun hutang yg ditinggalkan oleh si mati. Jika si mati tidak meninggalkan sebarang perancangan harta ataupun wasiat, senaraikan dulu hutang dan hartanya. Ini bertujuan memudahkan proses seterusnya. Contoh inventori yang termasuk dalam kategori Harta Pusaka yang biasa terlepas pandang:
- Hutang si mati yang dijelaskan selepas kematian.
- Kutipan sewa dari harta si mati.
- Dividen/faedah yang terbit dari harta si mati.
- Premium insurans.
- Barang yang terbit selepas kematian seseorang dari hasil usaha si mati semasa hayatnya.
- Semua harta yang diperolehi oleh si mati semasa hayatnya secara halal seperti melalui jualbeli, mendapat pusaka, melalui hibah, hadiah, sedekah dan melalui wasiat.
Contoh inventory harta yang bukan termasuk dalam Harta Pusaka:
- Harta yang telah diberi/dihibahkan kepada orang lain semasa hayatnya.
- Harta yang telah dijual oleh si mati.
- Harta yang telah diwakafkan.
- Harta yang dipegang amanah oleh si mati.
- Pemberian/sumbangan oleh orang yang menziarahi si mati.
- Wang pencen, ganjaran terbitan dan SOCSO.
- Imbuhan dan saguhati.
- Pampasan insurans dan manfaat takaful.
- Khairat kematian.
Banyak salah faham dan pertikaian yang berlaku tentang harta pusaka kerana kekeliruan tentang status harta pusaka tersebut. Status harta juga sebenarnya boleh dirujuk dan disemak secara terperinci dan ‘case to case basis‘ melalui dokumen harta, dokumen sokongan atau polisi tertentu yang dibuat supaya lebih jelas dan tepat.
Dan bagaimana cara untuk tahu hutang dimati?
Jika tidak tahu, setelah berjaya mendapat surat kuasa, waris boleh pergi ke Bank Negara untuk mendapatkan maklumat hutang si Mati. Kebiasaannya bank negara membuat rekod laporan (CTOS & CCRIS).
4. Daftar Kematian & Mohon Sijil Kematian (Selepas Kematian).
Jika berlaku kematian untuk memulakan proses pentadbiran harta pusaka, anda perlu mendapatkan sijil kematian yang mengesahkan kematian pemilik harta.
Maksud Sijil Kematian.
Sijil kematian ialah suatu dokumen perakuan maklumat mengenai kematian seseorang individu. Di dalam sesuatu sijil kematian mengandungi maklumat seperti tarikh kematian, bagaimana individu tersebut meninggal dunia, individu yang melaporkan kematiannya serta dimana tempat meninggal dunia. Sijil kematian merupakan dokumen penting pembuktian kematian seseorang individu bagi membolehkan harta pusaka simati dibahagi dan diagihkan mengikut undang-undang.
Terdapat dua cara bagi mendapatkan dengan membuat pendaftaran kematian biasa (Semenanjung Malaysia) iaitu :
1. Pendaftaran melalui agensi pengesah kematian seperti hospital dan PDRM (Buat report di balai Polis berdekatan untuk mudahkan urusnan pengebumian).
2. Pendaftaran melalui waris simati atau pemaklum / pelapor.
Bagi maklumat lanjut perincian mengenai tindakan / cara untuk mendaftar, dokumen yang perlu dikemukakan serta individu yang layak membuat permohonan / kutipan sijil kematian, boleh layari ke Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara
Antara individu – individu yang ditetapkan boleh membuat permohonan :
- Ibu atau bapa si mati
- Suami atau isteri si mati
- Anak kandung atau anak angkat yang sah bagi si mati
- Adik beradik kandung si mati
- Firma guaman
- Badan berkanun
- Agensi kerajaan
Permohonan dihadkan hanya kepada senarai individu dan agensi diatas sahaja bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam sijil kematian tersebut.
5. Senaraikan Dokumen Pusaka (Selepas Kematian).
Antara dokumen yang sangat penting dalam urusan harta pusaka ialah :
1- Dokumen Kematian : surat mati atau cabutan kematian atau permit menguburkan atau perintah anggapan kematian.
2- Dokumen Harta : Jika tidak dibuat sebelum kematian. Pihak waris wajis membuat dan mengenalpasti harta dan hutang si mati. Semua harta ini memerlukan dokumen seperti geran rumah/tanah, buku akaun bank, tabung haji, penyata kwsp, ASB, dividen, sijil saham, geran kereta/motorsikal dan lain-lain. Bagi harta yang tiada dokumen seperti barangan kemas, perabot dan harta-harta lain yang bernilai, boleh senaraikan dan anggarkan nilainya.
3- Dokumen Waris : senaraikan waris-waris yang berkemungkinan mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka si mati. Buat carta atau salasilah keluarga untuk memudahkan mengenalpasti waris. Kumpulkan salinan kad pengenalan waris-waris yang terlibat. Jika tidak pasti siapa yang berhak mewarisi boleh dapatkan bantuan mereka yang arif tentang faraid.
6. Perlantikan Pentadbir.
Kenalpasti pentadbir/wasi jika si mati ada mengambil servis dari mana mana agensi pengerusan harta pusaka atau jika tiada kenalpasti siapa yang boleh menjadi pentadbir harta pusaka di kalangan waris.
Pentadbir boleh jadi seorang atau maksimum sehingga 4 orang. Permuafakatan keluarga sangat penting dalam perlantikan pentadbir ini. Jadi pentadbir bukanlah suatu kerja yang mudah.
Walaupon pentadbir dapat akses kepada semua harta tapi harus diingat, wasi ataupentadbir ini hanyalah pemegang amanah untuk menguruskan. Pentadbirlah orang yang perlu menguruskan dokumentasi dan berurusan dengan pelbagai pihak yang lain. Jadi tak perlu berebut untuk menjadi pentadbir.
Oleh kerana pengurusan harta pusaka pasti akan melibatkan kos, pentadbir yang dilantik hendaklah bersedia dan berkemampuan dari segi kos juga. Jika sukar untuk berkongsi kos dengan waris-waris yang lain, pentadbir perlu mendahulukan wangnya sendiri dan kos-kos dari waris-waris yang lain boleh ditolak semasa proses pembahagian harta kelak. Pentadbir juga boleh dilantik dari kalangan agensi pengurusan swasta yang khusus menguruskan harta pusaka.
7. Permohonan Pusaka (Proses Pentadbiran Pusaka).
Stelah itu, langkah seterunya adalah mengenalpasti, di mana proses pentadbiran untuk permohonan pusaka perlu dibuat. Di Malaysia, ada beberapa agensi di mana permohonan harta pusaka boleh dibuat :
1- Pejabat Harta Pusaka Kecil
Ini jika si mati meninggalkan aset RUMAH atau TANAH yang bernilai tidak lebih RM2 juta (mulai 1 September, 2009). Ini kerana Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara iaitu undang-undang utama mengenai urusan pentadbiran tanah. Harta alih yang lain seperti akaun bank, sijil saham, kwsp dan yang lain-lain boleh disenaraikan sekali dalam permohonan. Tapi sekiranya si mati HANYA meninggalkan harta alih sahaja (contoh : kereta, wang tunai, akaun ASB, tabung haji, kwsp dan lain -lain) maka permohonan tak boleh di buat di Pejabat Harta Pusaka Kecil.
2- Amanah Raya Berhad
Ini jika si mati meninggalkan harta alih sahaja yang bernilai kurang dari RM600,00-00. Harta alih contohnya akaun bank, kwsp, sijil saham, kereta dan lain -lain. Amanah Raya boleh mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir dalam bentuk deklarasi. Jika harta alih contohnya akaun bank yang kurang RM50,000-00 Amanah Raya boleh keluarkan Surat Kuasa Mentadbir dalam bentuk Arahan kepada pihak bank mengarahkan akaun bank di bayar kepada pihak waris-waris. Urusan di Amanah Raya tertakluk kepada caj perkhidmatan.
Anggaran caj perkhidmatan Amanah Raya adalah seperti berikut :
5% ke atas RM25,000.00 yang pertama
4% ke atas RM225,000.00 yang berikutnya
3% ke atas RM250,000.00 yang berikutnya
2% ke atas RM500,000.00 yang berikutnya
1% ke atas baki selebihnya.
3- Mahkamah Tinggi Sivil
Jika si mati meninggalkan harta pusaka yg nilainya melebihi RM2 juta samada harta alih ataupun harta tak alih. Jika si mati ada wasiat, terus buat permohonan untuk mendapatkan Geran Probate. Tapi jika tak ada wasiat, kena mohon Letter of Administration (LA) atau dikenali juga sebagai Surat Kuasa Mentadbir. Pembahagian harta orang Islam adalah berdasarkan faraid. Maka sebelum memohon ke Mahkamah Tinggi Sivil, perlu dapatkan Sijil Perakuan Faraid dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Jika pembahagian hendak dibuat bukan kepada waris / benefisiari, selepas L.A diperolehi, Pentadbir hendaklah memohon Perintah Pembahagian (Distribution Order). Sebagai contoh, si mati meninggalkan rumah dan waris-waris nak jual rumah tu kepada Pembeli. Boleh masukkan terus nama Pembeli dalam Perintah Pembahagian tersebut dengan diekshibitkan sekali Perjanjian Jualbeli. Ini untuk menjimatkan masa dan kos duti setem tanpa perlu turunmilik kepada waris terlebih dahulu. Hasil jualbeli tersebut barulah dibahagikan secara faraid.
4- Mahkamah Syariah
Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid. Untuk kematian selapis, boleh mohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tetapi untuk kematian yg berlapis (terdapat waris-waris yang meninggal selepas kematian si mati) perlu mohon di Mahkamah Tinggi Syariah. Sijil Perakuan Faraid ini boleh digunakan di Pejabat Pusaka Kecil dan juga Mahkamah Tinggi Sivil untuk mengesahkan siapa yang layak menjadi waris / benefisiari.
Mahkamah Syariah juga berbidangkuasa untuk memutuskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan harta pusaka seperti berikut :
- Pengesahan Hibah
- Pengesahan Wasiat
- Pengesahan Status Perkahwinan
- Pengesahan Nasab
- Memutuskan Tuntutan Harta Sepencarian
Jika si mati hanya meninggalkan akaun di Bank XYZ sebagai contoh, dan Bank XYZ hanya memberikan syarat bahawa mereka hanya perlukan Sijil Perakuan Faraid sebagai syarat pengeluaran wang tunai kepada waris, maka waris-waris hanya perlu terus ke Mahkamah Syariah tanpa perlu melalui agensi yang telah dinyatakan sebelum ini.
Jika si mati meninggalkan aset di Syarikat ABS sebagai contoh, dan Syarikat ABS hanya memberikan syarat bahawa mereka hanya perlukan Surat Kuasa Mentadbir dari Mahkamah Tinggi Sivil sebagai syarat pelepasan aset kepada waris, maka waris perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir dari Mahkamah Tinggi Sivil walaupun aset si mati kurang RM2 juta.
8. Mengemukakan Permohonan Pentadbiran (Proses Pentadbiran Pusaka).
Setelah mendapatkan sijil kematian dan waris, anda boleh mengemukakan permohonan pentadbiran harta pusaka kepada Mahkamah atau agensi yang berkaitan.
Permohonan ini perlu menyertakan butir-butir harta pusaka, senarai waris, dan pemilihan pentadbir harta pusaka yang sesuai. Pentadbir yang dilantik perlu menguruskan dan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran harta pusaka dengan teliti.
Siapakah yang boleh memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka?
Permohonan boleh dibuat oleh pihak yang berikut:
(a) Waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya;
(b) pemiutang (creditor) seperti pemberi pinjam wang, bank, koperasi, dsb.;
(c) pihak-pihak pembeli (purchasers) dan pemegang serah hak, pemegang gadaian dan pajakan yang mempunyai kepentingan dalam harta peninggalan si mati;
(d) waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad, dsb.; dan
(e) Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam harta pusaka yang berkenaan.
Apakah prosedur untuk membuat permohonan probet dan surat kuasa mentadbir?
Prosedur yang perlu diikuti adalah seperti yang berikut: Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, tindakan hendaklah diambil di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet.
Jika si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.
Adapon permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil hanya dibuat di Pejabat Tanah yang nilai jumlah harta tak alih bersama harta alih tidak melebihi RM 2,000,000.00 pada tarikh peninggalan si mati. Permohonan ini dibuat dengan menggunakan Borang A yang boleh didapati di Pejabat Tanah khasnya daripada Unit Pembahagian Pusaka Kecil.
Untuk rujukan :
- Geran Probet (Grant of Probate) – geran kebenaran yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi kepada wasi untuk memberi kuasa kepadanya mentadbir harta pusaka pewasiat.
- Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) – Di Malaysia, jika tiada wasiat, geran probet digantikan dengan surat kuasa mentadbir.
- Pentadbiran Ringkas (Summary Administration) – Instrumen perundangan yang digunakan apabila wasi yang dinamakan menolak tugas yang diberikan. Ia digunakan untuk harta pusaka yang nilainya kurang daripada RM600,000.
Geran Probet adalah dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil untuk mengesahkan seseorang sebagai pentadbir harta pusaka bagi seseorang yang meninggal dunia tanpa wasiat atau dengan wasiat yang tidak sah. Geran Probet ini mengawal proses pentadbiran harta pusaka dalam kes-kes yang berlaku di bawah undang-undang sivil.
Surat Kuasa Mentadbir, atau juga dikenali sebagai Surat Suruhanjaya Mentadbir, adalah dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi kepada seseorang untuk mentadbir harta pusaka seseorang yang meninggal dunia tanpa wasiat. Surat Kuasa Mentadbir ini mengawal proses pentadbiran harta pusaka dalam kes-kes yang berlaku di bawah undang-undang syariah.
Jadi, baik rakyat Malaysia beragama Islam mahupun bukan Islam, mereka dapat menggunakan Geran Probet atau Surat Kuasa Mentadbir mengikut keperluan mereka dalam pengurusan harta pusaka di Malaysia. Walaubagaimanapun, proses dan prosedur mungkin berbeza mengikut undang-undang sivil dan undang-undang syariah yang berkenaan. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan bantuan daripada peguam yang mahir dalam bidang harta pusaka untuk memastikan pematuhan undang-undang yang berkenaan.
Adapon Rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Tinggi Syariah. Cara dapatkan sijil faraid di Mahkamah Tinggi. Baca disini(Tekan)
9. Menyelesaikan Hutang dan Liabiliti (Proses Pentadbiran Pusaka).
Sebagai sebahagian daripada pentadbiran harta pusaka, pentadbir perlu mengenal pasti hutang dan liabiliti yang ditinggalkan oleh pewaris sebelum membuat pengagihan harta pusaka melalui faraid.
Haruslah diingat, adalah tanggungjawab pentadbir/wasi untuk memastikan hutang diselesaikan menggunakan harta pusaka sebelum pembahagian dilakukan kepada waris-waris yang mempunyai hak sah.
Tanggungjawab waris terhadap hak berkaitan harta si mati
Sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris, waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan hak-hak berkaitan harta si mati. Hak-hak tersebut adalah belanja pengurusan jenazah, penyelesaian hutang si mati dan menunaikan wasiat si mati.
1. Pengurusan Jenazah
Belanja pengurusan jenazah meliputi urusan yang wajib sahaja seperti pembelian peralatan kapan, keranda, upah memandikan jenazah, upah menggali kubur, kereta jenazah dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, pemberian kepada orang yang sembahyang jenazah dan tahlil tidak boleh diambil daripada harta si mati kerana urusan-urusan bukanlah satu perkara yang wajib.
2. Menyelesaikan Hutang
Setelah urusan pengebumian selesai, waris-waris hendaklah menyelesaikan hutang si mati. Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang dengan Allah (zakat, kifarat, nazar, haji dan fidyah) dan hutang dengan manusia (hutang semasa hayatnya kepada seseorang)
3. Menunaikan Wasiat
Sekiranya si mati semasa hayatnya meninggalkan wasiat, waris hendaklah menunaikan wasiat tersebut. Wasiat tersebut hendaklah sah di sisi hukum syarak sebelum ianya boleh ditunaikan. Sekiranya ianya tidak sah di sisi hukum syarak, maka waris-waris mempunyai budi bicara untuk menunaikan atau tidak wasiat.
Antara syarat sah wasiat menurut hukum syarak adalah pertama harta yang diwasiatkan mestilah tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati setelah ditolak belanja pengurusan jenazah dan hutang dan kedua harta tersebut tidak diwasiatkan kepada mana-mana waris yang berhak mewarisi harta pusaka.
Selepas hak-hak di atas ditunaikan, barulah baki harta pusaka itu akan dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.
10. Membahagikan Harta Pusaka (Proses Akhir Pusaka).
Setelah hutang dan liabiliti diselesaikan, harta pusaka perlu dibahagikan di antara waris-waris yang mempunyai hak berdasarkan hukum faraid atau wasiat yang sah.
Terdapat beberapa kaedah pembahagian mengikut situasi secara amnya:
1) Jika si mati ada meninggalkan wasiat yg telah dipersetujui oleh waris ataupun telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi, laksanakan wasiat dahulu. Baki harta jika ada (selepas ditolak segala hutang si mati) baru difaraidkan kepada semua waris-waris.
2) Jika si mati ada membuat hibah dan hibah tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, laksanakan hibah dahulu. Baki harta jika ada, baru difaraidkan kepada semua waris-waris.
3) Jika ada persetujuan atau permuafakatan bersama di antara waris-waris, pembahagian harta pusaka boleh dilakukan berdasarkan persetujuan bersama tersebut.
4) Jika ada tuntutan harta sepencarian dan Mahkamah telah menetapkan bahagian yg tertentu daripada harta pusaka tersebut, maka bahagian harta sepencarian tersebut perlu diserahkan terlebih dahulu, baki harta jika ada baru difaraidkan kepada waris-waris.
5) Pembahagian berdasarkan faraid. Jika si mati tiada sebarang perancangan harta, waris-waris tidak ada sebarang persetujuan bersama, maka faraid adalah penyelesaian terakhir dan jawapan kepada segala pertikaian tentang pembahagian harta pusaka tersebut.
Untuk baca soalan lazim berkaitan kadar dan soalan lazim berkenaan faraid tekan disini untuk lihat secara detail di blog bacaan.
11. Proses Pentadbiran Selepas Pembahagian Harta Pusaka.
a) Mendaftarkan Perubahan Pemilikan Harta:
Selepas pembahagian harta pusaka, pentadbir perlu menguruskan pendaftaran perubahan pemilikan harta kepada badan-badan berkuasa yang berkaitan. Ini termasuk pendaftaran tanah, pemindahan nama pemilik harta di institusi kewangan, dan segala proses yang diperlukan untuk memindahkan hak milik secara sah kepada waris yang berkenaan.
b) Pelaporan dan Pembayaran Cukai Harta Pusaka:
Pengurus harta pusaka bertanggungjawab untuk menyediakan laporan kewangan dan menguruskan pembayaran cukai harta pusaka yang berkaitan. Mereka perlu melaporkan semua perbelanjaan, pendapatan, dan transaksi yang berkaitan dengan harta pusaka. Selain itu, mereka juga harus memastikan bahawa cukai harta pusaka yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai telah dibayar dengan betul.
c) Menjaga Rekod dan Dokumentasi:
Pentadbir harta pusaka perlu menjaga rekod dan dokumentasi yang lengkap dan teliti berkaitan dengan pengurusan harta pusaka. Ini termasuk dokumen-dokumen penting seperti sijil kematian, sijil waris, perjanjian wasiat, penyata harta pusaka, surat-menyurat pentadbiran, dan sebarang dokumen yang berkaitan dengan transaksi harta pusaka. Rekod ini penting untuk tujuan audit, perundangan, dan rujukan pada masa depan.
d) Menyediakan Sokongan Kepada Waris:
Sebagai pengurus harta pusaka, pentadbir juga bertanggungjawab untuk memberikan sokongan kepada waris dalam hal-hal yang berkaitan dengan harta pusaka. Mereka perlu memberikan penjelasan yang jelas dan membantu dalam menjawab pertanyaan serta memberikan nasihat yang sesuai berkaitan dengan pengurusan harta pusaka. Sebab itu adalah penting pemilihan pentadbir. Lagi-lagi jika kita meninggalkan waris yang masih dibawah umur.
Klik untuk membaca