Bagaimana harta pusaka dibahagikan apabila seseorang meninggal dunia? Dalam Islam, pembahagian harta faraid adalah sistem yang menentukan siapa yang berhak menerima harta peninggalan, berdasarkan ketetapan syarak. Namun, ramai yang masih keliru dengan prosesnya. Siapa mendapat bahagian lebih besar? Bagaimana cara mengelakkan pertikaian?
Dalam artikel ini, kita akan menyelami konsep faraid secara mudah dan praktikal, supaya anda boleh memahami hak waris dan bagaimana pembahagian ini memberi kesan kepada keluarga.
- Ramai Orang Salah Paham tentang pembahagian harta Faraid !
- Persetujuan Takharruj: Alternatif dalam Pembahagian Harta Pusaka
- Dalil Takharruj dalam al-Quran
- Syarat-syarat Takharruj
- Apa berlaku jika tiada kesepakatan?
- Situasi 1: Pembahagian Harta secara muafakat
- Situasi 2: Pembahagian harta Faraid, sebahagian secara Muafakat
- Pembahagian mengikut Faraid terlebih dahulu
- Pembahagian secara Muafakat bagi baki harta
- Situasi 3: Pembahagian Mengikut Faraid Tanpa Takharruj
- Secara kesimpulannya
- Hubungi Kami
Ramai Orang Salah Paham tentang pembahagian harta Faraid !
Soalan :
Saya ada 5 beradik, 2 lelaki dan 3 perempuan. Masa pembahagian pusaka, semua adik-beradik perempuan setuju nak bahagi secara sama rata dan tak nak ikut faraid. Boleh ke kalau suka2 tak nak ikut faraid? Kalau saya tak setuju macamana? Apakah kaedah pembahagian yang sepatutnya dalam situasi ini?

Jawapan Ringkas :
Apa itu pembahagian Harta Faraid?
Apabila seseorang meninggal dunia, hartanya secara automatik menjadi harta pusaka dan tertakluk kepada hukum faraid. Proses pembahagian ini bermula serta-merta, memastikan waris yang layak menerima bahagian mereka mengikut ketetapan Islam.
Maksud dan kepentingan Faraid
Faraid bermaksud “ketetapan” dan merujuk kepada ilmu yang menentukan cara harta pusaka dibahagikan kepada waris. Ia menetapkan siapa yang berhak menerima harta serta jumlah yang diperuntukkan kepada setiap individu.
Mengapa lelaki menerima bahagian lebih besar?
Dalam pembahagian harta faraid, lelaki menerima bahagian yang lebih besar berbanding wanita. Ini bukan sekadar keistimewaan, tetapi satu tanggungjawab. Dalam Islam, lelaki bertanggungjawab menyara isteri, anak-anak, ibu bapa, dan ahli keluarga yang memerlukan bantuan. Oleh itu, pembahagian ini bertujuan memastikan mereka mampu menjalankan kewajipan tersebut dengan baik.
- Sebagai bapa, lelaki bertanggungjawab atas nafkah anak-anaknya.
- Selaku suami, lelaki bertanggungjawab atas nafkah isterinya.
- Jika anak, lelaki bertanggungjawab atas nafkah ibu bapanya.
Tanggungjawab lelaki lebih besar sesuai dengan bahagian yang mereka perolehi. Sebab itu Adik beradik boleh mendapat bahagian sekiranya si mati tiada bapa, anak lelaki dan cucu lelaki ? Sesuai dengan penetapan bahagian Faraid, adik beradik bertanggungjawab menggalas tugas sebagai penjaga kepada ahli keluarga si mati JANGAN SALAH ANGGAP, FAHAMI TANGGUNGJAWAB!
Persetujuan Takharruj: Alternatif dalam Pembahagian Harta Pusaka
Dalam Islam, harta pusaka biasanya dibahagikan mengikut hukum faraid, yang menetapkan bahagian waris secara jelas. Namun, ada pilihan lain yang boleh digunakan jika semua waris bersetuju. Iaitu takharruj, atau pembahagian secara muafakat.
Dalil Takharruj dalam al-Quran
Konsep takharruj berlandaskan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 128:
فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ
“Maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”
Ayat ini menekankan kepentingan perdamaian dan persetujuan dalam pembahagian harta, selagi semua pihak setuju.
Syarat-syarat Takharruj
Sebelum waris boleh melepaskan hak faraid mereka secara sebahagian atau sepenuhnya, beberapa syarat perlu dipenuhi:
- Persetujuan Waris : Semua waris yang terlibat mesti bersetuju dengan pembahagian yang dibuat.
- Ketetapan Hak Faraid : Waris perlu mengetahui bahagian faraid mereka yang sebenar sebelum membuat keputusan melepaskan hak.
Apa berlaku jika tiada kesepakatan?
Jika waris gagal mencapai persetujuan, maka pembahagian secara faraid akan tetap digunakan. Ini memastikan keadilan dan mengelakkan sebarang pertikaian dalam urusan harta pusaka.
Hubungan keluarga memainkan peranan penting dalam muafakat dan persetujuan. Adapon dalam kes di atas dapatlah disimpulkan kepada beberapa situasi :
Situasi 1: Pembahagian Harta secara muafakat
Dalam kes ini, lima adik-beradik. Iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Mereka bersetuju untuk membahagikan harta pusaka secara sama rata. Mengikut hukum faraid, anak lelaki menerima dua bahagian, manakala anak perempuan menerima satu bahagian.
Namun, kedua-dua anak lelaki memilih untuk takharruj, iaitu melepaskan sebahagian daripada hak faraid mereka kepada adik-beradik perempuan.
Melalui persetujuan ini, kesemua waris mendapat bahagian yang sama tanpa sebarang pertikaian. Kaedah ini memastikan pembahagian harta berjalan secara muafakat dan harmoni, selagi semua waris bersetuju dengan keputusan tersebut.
Situasi 2: Pembahagian harta Faraid, sebahagian secara Muafakat
Dalam kes ini, tiga adik-beradik perempuan dan seorang anak lelaki bersetuju untuk membahagikan harta pusaka secara sama rata. Namun, seorang lagi anak lelaki tidak bersetuju dengan kaedah takharruj.
Pembahagian mengikut Faraid terlebih dahulu
Oleh kerana salah seorang waris tidak mahu melepaskan hak faraidnya, bahagiannya perlu diberikan terlebih dahulu. Mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan yang hanya menerima satu bahagian. Oleh itu, waris lelaki yang tidak setuju akan menerima haknya sepenuhnya sebelum baki harta diagihkan kepada waris lain.
Pembahagian secara Muafakat bagi baki harta
Selepas bahagian faraid diberikan kepada anak lelaki tersebut, baki harta yang tinggal boleh dibahagikan secara sama rata antara tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki yang bersetuju dengan takharruj. Kaedah ini dikenali sebagai muafakat, di mana sebahagian harta pusaka mengikut faraid, manakala selebihnya dibahagi berdasarkan persetujuan semua pihak.
Kaedah ini memberi ruang kepada waris untuk mencapai keseimbangan dalam pembahagian harta, sambil tetap menghormati hak faraid waris yang memilih untuk tidak melepaskan bahagiannya.
Situasi 3: Pembahagian Mengikut Faraid Tanpa Takharruj
Dalam kes ini, tiga adik-beradik perempuan ingin membahagikan harta pusaka secara sama rata. Namun, dua anak lelaki memilih untuk mengekalkan pembahagian mengikut hukum faraid.
Pembahagian mengikut faraid
Oleh kerana dua anak lelaki tidak bersetuju untuk takharruj atau melepaskan sebahagian hak mereka, pembahagian harta mesti dilakukan berdasarkan kaedah asal faraid. Mengikut hukum faraid:
- Anak lelaki menerima dua bahagian setiap seorang.
- Anak perempuan menerima satu bahagian setiap seorang.
Tiada ruang untuk Muafakat dalam kes Ini
Kerana tidak semua waris bersetuju untuk membuat pembahagian sama rata, maka faraid tetap menjadi kaedah utama. Ini memastikan hak setiap waris terjamin mengikut ketetapan Islam.
Dalam pembahagian harta pusaka tiada istilah majoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh dipaksa untuk melepaskan bahagiannya di dalam faraid.
Kaedah pembahagian secara muafakat adalah yang terbaik jika dapat dilaksanakan tetapi sekiranya tiada persetujuan yang dicapai maka kaedah pembahagian secara faraid adalah jawapan dan penyelesaian terakhir kepada masalah yang menjadi pertikaian.
Berdasarkan tinjaun kes mahkamah dan harta yang tidak tituntut kebiasaannya, dari purata 10 kes hanya 1 sahaja kes yang berjaya di faraid secara muafakat. Sebab itu adalah penting untuk merancang pentadbiran harta pusaka dengan awal.
Secara kesimpulannya
Sekali lagi, kami tegaskan bahawa setiap ketetapan Allah pasti mengandungi hikmah yang mendalam. Ada yang dapat kita fahami dengan akal, dan ada yang melangkaui batas pemikiran manusia. Oleh itu, amat penting bagi seseorang untuk mendalami dan memahami setiap keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah, agar ia diterima dengan hati yang terbuka dan penuh keyakinan.
Kami cadangkan perkara pertama apabila berlaku kematian, mulakan dengan urusan yang membabitkan harta si mati mengikut apa yang telah ditetapkan oleh para ulama’. Antaranya:
- Harta si mati perlu digunakan terlebih dahulu untuk menyelesaikan urusan pengebumian.
- Sebarang hutang yang ditanggung wajib dilunaskan sebelum harta dibahagikan.
- Jika ada kewajipan ibadah yang belum ditunaikan seperti badal haji, zakat, atau nazar, ia perlu diselesaikan terlebih dahulu.
- Jika si mati berwasiat untuk berwakaf atau memberi harta kepada seseorang, wasiat tersebut perlu dilaksanakan, tetapi tidak boleh melebihi satu pertiga daripada nilai harta.
- Selepas semua urusan wasiat selesai, baki harta akan dibahagikan mengikut faraid sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak.
- Pembahagian harta perlu dilakukan mengikut faraid terlebih dahulu. Selepas waris menerima haknya, mereka boleh memilih untuk tanazul, iaitu mengurangkan atau melepaskan hak tersebut bagi membahagikannya secara sama rata.
- Oleh kerana harta sudah menjadi milik penuh penerima, mereka berhak untuk mengagihkannya kepada ahli keluarga lain mengikut persetujuan.
- Dalam situasi ini, harta perlu dibahagikan secara berlapis, dikenali sebagai hukum munasakhah. Ia berlaku apabila waris meninggal dunia sebelum menerima bahagiannya, menyebabkan harta perlu diagihkan semula kepada waris lain.
- Keadaan ini bukan sahaja memakan masa tetapi juga boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam keluarga. Oleh itu, pembahagian awal adalah penting untuk memastikan proses berjalan lancar, adil, dan bebas daripada komplikasi.
Akhir kata: Kepentingan kesepakatan dalam pembahagian harta Faraid
Pada awalnya, ramai ahli keluarga bersetuju untuk membahagikan harta secara sama rata. Namun, apabila timbul isu tertentu, ada yang mula merasa tidak puas hati, lalu menuntut hak mereka kembali.
Jika tidak ditangani dengan baik, perkara ini boleh berlanjutan hingga ke mahkamah, menyebabkan tekanan dan perpecahan dalam keluarga. Oleh itu, sangat penting untuk memahami implikasi pembahagian harta dan memastikan semua waris benar-benar bersetuju sebelum mengambil keputusan.
Kesepakatan yang dicapai hari ini boleh mengelakkan konflik di masa hadapan. Perbincangan yang jujur dan telus adalah kunci bagi memastikan setiap waris berpuas hati dan pembahagian berjalan dengan adil serta harmoni.
Mengapa pengurusan Harta Pusaka perlu diurus dengan baik?
Pengurusan harta pusaka perlu dilakukan dengan teliti untuk memastikan kelancaran proses pembahagian. Langkah pertama ialah melantik pentadbir atau wasi yang bertauliah dan mempunyai kredibiliti yang tidak diragui. Wasi yang berpengalaman akan membantu menguruskan harta pusaka dengan adil, mengelakkan pertikaian, dan memastikan hak setiap waris dipenuhi.
Dengan pengurusan yang baik, urusan pewarisan dapat diselesaikan tanpa masalah, sekaligus mengekalkan hubungan baik antara ahli keluarga. Untuk maklumat lanjut, baca soalan lazim mengenai pengurusan harta pusaka di sini: (Klik) .
Semoga coretan ringkasan ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada anda. Kami berdoa kepada Allah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya

Selepas Pemergian Ibu atau Ayah, Jangan Biarkan Harta Pusaka Menjadi Beban!
Kehilangan orang tersayang adalah ujian berat. Namun, tanpa pengurusan harta pusaka yang baik, waris boleh berdepan konflik, perebutan, dan tuntutan mahkamah. Semuanya kerana pembahagian harta faraid tidak diurus dengan teratur.
Apa tindakan segera?
- Selesaikan urusan pengebumian dengan harta pusaka yang tersedia.
- Lunaskan hutang si mati untuk mengelakkan beban kepada waris.
- Tunaikan ibadah tertangguh seperti badal haji, zakat, atau nazar.
- Pastikan harta dibahagikan mengikut faraid—hak waris perlu dijamin!
- Jika waris bersetuju, boleh gunakan takharruj untuk pembahagian secara muafakat.
Jangan biarkan harta menjadi punca pertikaian!
Jika harta pusaka tidak diurus dengan baik, waris boleh berdepan perselisihan, kes mahkamah, dan perpecahan keluarga. Bertindak sekarang untuk memastikan harta pusaka diurus dengan lancar dan adil, tanpa sebarang komplikasi!