“Si Mati Tak Buat Penamaan KWSP, Macam Mana Waris-Waris Hendak Keluarkan Wang KWSP Si Mati?”

Kebiasaannya sebelum menjawab soalan, saya akan banyak bertanya dahulu…

1. Siapa waris-waris si mati?
2. Apa lagi harta lain yang si mati tinggalkan seperti rumah, tanah, kenderaan, akaun simpanan bank, Tabung Haji, ASB, saham syarikat atau akaun pelaburan dan lain-lain?
3. Adakah si mati meninggalkan apa-apa hutang?
4. Adakah si mati ada membuat wasiat kepada bukan waris?

Ini adalah kerana, setiap kaedah pengeluaran bukanlah sesuai untuk semua situasi dan keadaan…. walaupun wang simpanan KWSP boleh dikeluarkan dengan beberapa cara.

Kaedah atau cara pengeluaran simpanan KWSP yang dimaksudkan ialah melalui :

1. Waris Terdekat

Pengeluaran oleh waris terdekat dengan hanya mengemukakan borang-borang yang dikehendaki, Sijil Kematian, kad pengenalan waris yang membuat pengeluaran dan bukti pertalian dengan si mati seperti Sijil Kelahiran atau Sijil Nikah.

Waris terdekat dibenarkan mengeluarkan keseluruhan atau sebahagiannya, bergantung kepada jumlah simpanan si mati dan bila pengeluaran dibuat. (Butiran lanjut adalah seperti yang disertakan didalam gambar).

Waris terdekat bermaksud :

i) Balu atau suami atau anak-anak yang telah dewasa (berumur 18 tahun ke atas), bagi si mati yang sudah berkahwin.

ii) Ibu atau bapa atau adik beradik yang telah dewasa (sekiranya ibubapa sudah meninggal dunia), bagi si mati yang belum berkahwin.

Bagi si mati yang beragama Islam, wang simpanan KWSP yang telah keluarkan oleh si waris hendaklah digunakan untuk melangsaikan hutang si mati dahulu, dan kemudiannya melaksanakan wasiat kepada bukan waris (tidak lebih 1/3 dari nilai keseluruhan harta pusaka), sekiranya si mati ada membuat wasiat semasa hidupnya.

Baki selebihnya barulah boleh dibahagikan mengikut Faraid atau sepertimana yang disepakati oleh kesemua waris-waris si mati.
.Selalu dengar waris tersalah cara… mereka terus bahagikan dahulu wang yang berjaya dikeluarkan dan membiarkan hutang si mati tidak diuruskan. Kasihan roh si mati terkontang kanting di alam sana. (Berdasarkan hadis sahih : Jiwa seorang Muslim tergantung selagi mana hutangnya tidak dilunaskan).

Perlu diingat bahawa….
Walaupun kesemua waris dewasa sepakat membahagikan mengikut formula pembahagian selain dari Faraid, bahagian Faraid bagi anak bawah umur hendaklah dikekalkan, tidak dikurangkan dan diserahkan kepada Penjaganya atau Perbadanan Amanah (kebiasaannya Amanahraya. Melainkan jika si mati ada melantik Perbadanan Amanah lain semasa hidupnya).

Bagi si mati yang bukan beragama Islam, wang simpanan yang telah dikeluarkan hendaklah digunakan untuk melangsaikan hutang si mati dan dibahagikan mengikut wasiat (will) sepenuhnya sekiranya si mati ada membuat wasiat semasa hidupnya.

Sekiranya tiada wasiat, maka hendaklah dibahagikan mengikut pembahagian seperti yang dinyatakan didalam Akta Pembahagian 1958 atau sepertimana yang disepakati oleh kesemua waris-waris si mati.

2. Surat Kuasa

Pengeluaran oleh Pentadbir melalui Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian yang dikeluarkan oleh Amanahraya Berhad / Unit Pembahagian Pusaka Kecil / Mahkamah Tinggi Sivil.

Surat Kuasa merupakan dokumen yang memberi kuasa kepada Pentadbir yang dinamakan didalam surat tersebut, untuk pengurusan hutang si mati dengan institusi serta pengurusan kesemua harta pusaka si mati yang tidak mempunyai penamaan.

Sekiranya si mati meninggalkan simpanan KWSP melebihi RM25,000, akan ada bahagian simpanan yang tidak boleh dikeluarkan oleh waris terdekat tanpa mengemukakan Surat Kuasa ini.

Hanya Pentadbir yang dinamakan didalam Surat Kuasa sahaja boleh membuat pengeluaran kesemua baki didalam simpanan KWSP dan seterusnya menutup akaun tersebut.

Bagi si mati yang beragama Islam, Pentadbir mestilah menggunakan wang simpanan KWSP yang telah dikeluarkan untuk melangsaikan hutang si mati dahulu dan kemudiannya menunaikan wasiat kepada bukan waris (tidak lebih 1/3 dari nilai keseluruhan harta si mati), sekiranya si mati ada membuat wasiat tersebut.

Baki selebihnya barulah diagihkan mengikut Faraid ataupun sepertimana yang disepakati oleh kesemua waris. Bahagian Faraid anak bawah umur hendaklah dikekalkan, tidak boleh dikurangkan dan diserahkan kepada Penjaganya atau Perbadanan Amanah.

3. Geran Probet

Pengeluaran oleh Wasi dengan mengemukakan Geran Probet yang diperolehi dari Mahkamah Tinggi Sivil.

Dokumen ini sama fungsinya dengan kaedah nombor 2 tadi. Tanggungjawab Wasi juga sama seperti Pentadbir. Cuma bezanya :

i) Geran Probet dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil bagi si mati yang ada membuat pelantikan Wasi semasa hidupnya.

ii) Prosedur / langkah-langkah untuk memperolehi Geran Probet juga lebih mudah berbanding Surat Kuasa.

Wasi bertanggungjawab menguruskan wang simpanan mengikut tertib yang betul sepertimana yang diterangkan didalam kaedah-kaedah sebelum ini iaitu melangsaikan hutang, melaksanakan wasiat dan membahagikan kepada waris-waris.

4. Sijil Faraid

Pengeluaran oleh setiap waris Faraid mengikut bahagian Faraid masing-masing di cawangan-cawangan KWSP terdekat, dengan mengemukakan Sijil Faraid asal dan kad pengenalan waris.

Dengan mengemukakan Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah, setiap waris Faraid boleh mengelua rkan wang simpanan KWSP si mati tetapi terhad mengikut bahagian Faraid masing-masing sahaja.

Pendapat saya, kaedah ini kurang sesuai sekiranya si mati masih mempunyai hutang yang belum dilangsaikan atau si mati mempunyai wasiat untuk memberikan kepada bukan waris.

Maklumlah, setiap waris Faraid sudah ambil bahagian masing-masing. Mungkin sudah digunakan untuk tujuan peribadi. Maka kebiasaannya agak sukar untuk meminta kembali setiap waris serahkan dan kumpulkan wang tersebut untuk membayar hutang si mati.

Di samping itu, kaedah ini juga boleh jadi kurang efisyen sekiranya si mati masih mempunyai harta-harta peninggalan lain yang terbeku. Sebaiknya simpanan KWSP diuruskan bersekali dengan harta-harta lain melalui permohonan Surat Kuasa. Tetapi jika si mati tiada hutang, tiada harta lain dan tiada wasiat kepada bukan waris, maka kaedah ini lebih selamat, telus dan agak mudah digunapakai.

Oleh itu, dinasihatkan agar waris-waris tidak hanya fokus kepada matlamat untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP semata-mata. Hendaklah diselidiki dahulu akan hutang-hutang dan harta-harta yang si mati tinggalkan, agar harta pusaka si mati dapat diuruskan dengan betul dan lebih efisyen (cekap).

Kredit: Irda Rina

Ok, saya nak bantu anda untuk buat peranangan harta melalui wasiat/hibah, itupon jika anda nak. Saya tak paksa.

Hubungi saya untuk pertanyaan di 016-5577653

atau

Whatsapp (klik link ini)

atau layari website saya untuk dapatkan ebook PERCUMA. Klik disini https://hanaffi.com

Jangan lupa SHARE & LIKE post nie supaya orang lain dapat manfaat dari sharing anda!

Share This Post

Dapat E-Book Hibah Percuma

Khas untuk anda

6 Responses

  1. Kalau si mati ada buat penamaan di kwsp dan ada wasiat. Tetapi waris di kwsp penamaan dan wasiat berbeza, kwsp kena ikut wasiat atau kwsp penamaan?

    1. penama kwsp hanya sebagai pentadbir, wasiat ini perlukan persetujuan setiap ahli waris. Teapi terpulang kepada ahli waris untuk ikut wasiat atau tak dan tidak berdosa pon jika tak ikut sebab yang utama adalah faraid. jika waris nak ikut wasiat boleh, yang penting setiap waris tahu berapa bahagia yang di layak terima sebelum buat keputusan untuk ikut wasiat atau muafakat.

  2. Kwsp tak de penama tapi dah dapat sijil faraid daripada mahkamah rendah syariah… biasanya berapa lama proses pengeluaran KWSP yang ada sijil faraid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nak kami bantu anda?

Hubungi segera untuk sesi konsultansi percuma

© 2021 SEZARAH NUR VENTURE (SA0388691-M) . All rights reserved

hanaffi.com

error: Content is protected !!