Select Page

Soalan lazim pusaka

Q1 : Apakah kunci utama dalam menguruskan harta pusaka?
A : Jika semua orang faham tugas mereka sebagai hamba Allah dan memahami konsep pengurusan harta orang Islam insya Allah tiada masalah.

Q2 : Jika kahwin di Siam, layakkah pasangan kepada harta pusaka saya?
A : Jika ikut undang-undang Malaysia, tak layak kecuali perkahwinan tersebut telah didaftarkan semula di Jabatan Agama Islam melalui perintah dari Mahkamah Syariah.

Q3 : Suami saya letak duit kwsp nama mak dia dan adik beradiknya. Bagaimana tu? Saya rasa kecik hati.
A : Sebenarnya, penama KWSP adalah pentadbir sahaja, bukan pemilik harta. Tetapi orang kita faham, penama adalah pemilik dan penerima. Ia masih tertakluk kepada faraid. Dalam isu puan, mak suami layak mendapat setakat 1/6 sahaja daripada kwsp suami puan. Adik beradik pula tidak akan mendapat bahagian sekiranya puan dan suami mempunyai anak lelaki.

Q4 : Adakah ibu mertua berhak menuntut kesemua dan memiliki harta anaknya jika anaknya meninggal dunia sedangkan arwah juga memiliki beberapa orang cahaya mata..
A : Ibu mertua berhak mendapat harta pusaka anaknya (si mati) pada kadar 1/6 bahagian sahaja. Bukan kesemua harta.

Q5 : Saya ingin tahu pendapat ustaz mengenai masalah saya ini. Saya anak tunggal perempuan dan arwah mak saya ada meninggalkn tanah 3/4 ekar, rumah teres, kereta dan juga duit simpanan. Apa perlu saya perlu buat?
A : Mula-mula puan dapatkan perintah faraid di Mahkamah Syariah. Selepas itu, puan bawa perintah faraid ke Pejabat Pusaka Kecil di JKPTG untuk permohonan pembahagian. Jika nilai harta melebihi 2 juta, puan kena ke mahkamah tinggi untuk buat permohonan dan proses selanjutnya. Agak renyah sikit proses-proses ni. Sebab tu kita perlu buat wasiat dan melantik wasi bagi menguruskan harta pusaka kita nanti.

Q6 : Arwah ayah beli rumah atas nama arwah dan ibu. Selepas meninggal rumah sekarang atas nama ibu saya. Sekarang apa patut kami anak-anak buat supaya harta peninggalan ayah dibahagikan? Kami semua dah sepakat sama jual dan berikan wang jualan pada ibu dan terpulang pada ibu nak buat apa. Sebab hasil usaha ayah selama ni. Kami tak nak gaduh pasal harta. Cuma selepas ni macam mana. Tak nak kemudian hari ada persoalan antara menantu-menantu ayah dan ibu.
A : Pendapat saya biarlah ibu tinggal di situ. Jika jual di mana ibu puan nak tinggal nanti? Memang anak-anak ada hak, tapi biarlah ibu tinggal di situ. Tambah lagi, menantu tiada hak dalam harta pusaka, sebab tu macam-macam hal timbul selepas campur tangan pihak ke-3. Maaf jika jawapan saya tidak menyebelahi anak-anak.

Q7 : Bagaimana rumah yang pinjaman atas nama suami dan isteri dan sudah berpisah. Pinjaman kerajaan tapi sebelum ke mahkamah kami ada buat perjanjian yang atas nama dia bagi pada anak saya melalui perjanjian yang di mati setem. Adakah ia valid?
A : Dokumen yang telah distamping valid untuk dijadikan ekshibit di mahkamah. Puan boleh memohon di Mahkamah Syariah untuk memutuskan bahagian bekas suami diisytiharkan sebagai hibah oleh bekas suami kepada anak-anak.

Q8 : Saya nak minta pendapat tuan. Saya tengah buah abstrak untuk paper work mengenai pengurusan harta pusaka. Tajuk implikasi penangguhan pembahagian harta pusaka dalam kalangan masyarakat orang Islam di Pulau Pinang. Nak minta pendapat macam mana saya nak buat satu abstrak mengenai implikasi?
A : Boleh tengok kesannya, hampir RM70 Billion asset masih beku.

Q9 : Bapa saya sudah meninggal lama. Mak saya baru saja meninggal dunia. Semasa mak saya sakit, tak pernah mendapat pertolongan kewangan dari adik beradiknya. Tetapi selepas mak saya meninggal mereka tuntut harta mak saya. Perlu ke saya bagi pada mereka? Saya anak perempuan dan masih tidak berkahwin lagi.
A : Keadaan macam cik nie selalu berlaku. Bab harta semua orang nak tuntut. Tapi bab laksanakan amanah memang tak ambil tahu pon. Tapi disebabkan cik anak perempuan, mengikut faraid adik beradik mak ada hak ke atas harta arwah. Sebab tu pentingnya lantik wasi atau pentadbir yang boleh menerangkan peranan dan tanggungjawab waris-waris.

Q10 : As salam ustaz. Saya nak tahu tentang pembahagian duit arwah tinggalkan. Sekarang nie emak saya nak semua duit tu. Macam mana ye? Kami anak-anak juga mempunyai hak kan? Baru-baru ni pejabat tanah ada bagi tahu ibu saya rumah yang duduk sekarang nie ada cover insuran RM70k. Duit tu la yang ibu nak amik semua masuk ke akaun dia. Tapi pejabat tanah tak bagi ibu saya amik sebab kena tanya persetujuan anak-anak. Jadi bagaimana?
A : Jika setuju nak bagi tiada masalah. Asalkan semua reda, jika tak. Berbalik kepada pembahagian secara faraid. Ibu hanya berhak sekadar 1/8 bahagian sahaja. Bakinya dibahagikan kepada anak lelaki dan anak perempuan secara 2:1.

Q11 : Boleh ke tanpa adik-beradik lain untuk dapatkan sijil faraid? Kalau angkat sumpah nyatakan takde adik beradik lain? Sebab ayah saya meninggal tanpa wasiat. Saya anak sulung, mak masih ada. Adik beradik 7 orang anak lelaki hanya no. 5 dan 6, yang lain semua perempuan. Adik saya no. 4 yang uruskan untuk dapatkan sijil faraid tu. Die kata tak perlu adik-beradik lain hadir. Adakah boleh jadi begitu? Tanpa minta sijil lahir dan IC kami?
A : Setakat ni semua negeri telah melaksanakan permohonan faraid di hadapan hakim dan bukannya mohon sijil sahaja. Bermakna, semua waris perlu hadir dan mengemukakan keterangan sebagai waris kepada si mati. Tapi ada juga hakim beri kebenaran tak perlu hadir jika ada alasan munasabah. Cuba semak semula permohonan adik tu.

Q12 : Berapa bayaran kalau tukar nama arwah mak kepada nama saya? Saya tinggal di KL, tanah di Seremban. Boleh ke?
A : Tuan boleh rujuk ke pejabat pusaka kecil JKPTG yang berhampiran bagi nilai harta kurang dari RM2 juta. Jika lebih RM2 juta tuan boleh ke Mahkamah Tinggi Sivil.

Q13 : Kalau duit arwah Amanah Raya pegang, adakah mak dan ayah arwah akan dapat?
A : Akan dapat sebab mereka adalah waris utama faraid. Setiap dari mereka akan menerima 1/6 dari jumlah harta.

Q14 : Arwah nenek sebelum meninggal cuba usahakan tetapi sampai sekarang masih tak selesai sebab ada anaknya yang tak setuju. Lagipun nenek saya bini ke-2. Banyak kali turun naik. Memang rumit, lepas nenek meninggal tiada siapa nak uruskan.
A : Inilah sebab jika tidak diuruskan masa hidup. Bila dah lama, masing-masing menuntut hak itu dan ini. Selagi tiada kerjasama dari semua pihak terlibat, tak boleh selesai. Lebih burukkan keadaan, ada waris yang masih tinggal atas harta yang belum dibahagikan. Tak takut makan harta haram ke?

Q15 : Saya tiada masa ke ofis tuan, boleh kita jumpa di ofis saya?
A : Boleh, tiada masalah. Bagi lokasi, masa dan tarikh untuk kita jumpa.

Q16 : Masalah ini sudah lama berlarutan kerana ibu saya meninggal sejak saya kecil lagi. Jadi masalah saya nie terlalu complicated dan masih tertangguh begitu lama di pejabat pusaka. Semua yang berhak tak nak bagi komitmen semasa bicara atau buat surat sumpah. Saya dah putus asa.
A : Kesian pada tuan. Jika tiada kerjasama semua pihak memang susah nak diuruskan. Masing-masing tak faham ilmu faraid dan kepentingan mengurus harta. Harta nak, urus tak nak.

Q17 : Kalau nak dapatkan khidmat nasihat perlukan kos juga kan?
A : Khidmat nasihat tak kena bayar. Jika nak buat baru bayar. Hihi

Q18 : Saya nak tahu adakah berdosa anak-anak simati jika mereka melewatkan pembahagian harta pusaka arwah ayah yang tidak sempat diwasiatkan? Bagaimana pula amalan arwah di sana kelak? Tetapi kami adik-beradik tidak pernah bergaduh mengenai harta arwah mungkin kerana kesibukan masing-masing.
A : Sebaiknya urusan pembahagian harta pusaka perlu dilakukan segera. Kesan buruk boleh berlaku, jika ada antara waris yang tinggal atas harta arwah ayah yang belum dibahagikan atau mengambil harta arwah ayah tanpa kebenaran. Boleh termasuk dalam harta haram tau. Memang la tak bergaduh, tapi dalam hati siapa yang tahu redha atau tidak. Jika waris-waris memberi keizinan ok lah. Tapi kena tau juga berapa bahagian masing-masing atas harta arwah ayah tu.

Q19 : Saya tinggal di putrajaya. Masalahnya saya mempunyai 3 anak perempuan dan tak de anak lelaki. Saya ada 3 rumah dan 3 buah kereta. Semuanya adalah hasil titik peluh saya sendiri. Saya risau sebab suami saya ada 7 adik-beradik lelaki yang akan ambil harta saya satu hari nanti. Saya dah letak nama anak-anak, adakah mereka berhak juga?
A : Jika puan dah letak nama anak, adik beradik suami tiada hak lagi. Tapi jika tiada buat apa-apa pembahagian, mereka tetap ada hak. .

Q20 : Saya ada akaun bersama tabung haji, kalau apa-apa terjadi pada saya, suami berhak sepenuhnya duit tu?
A : Suami boleh keluarkan dan guna duit tu nanti, saya cadangkan puan buat hibah di Tabung Haji. Sekarang TH dah tawarkan produk hibah kepada pendeposit.

Q21 : Nama saya tiada dalam geran, adakah saya masih boleh menuntut hak ayah? Saya tahu saya mempunyai hak keatas harta arwah.
A : Puan boleh menuntut hak puan melalui pejabat unit pusaka kecil di JKPTG berdasarkan Seksyen 8, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

Q22 : Arwah ayah mempunyai 2 isteri. Isteri pertama ada 2 anak, isteri kedua ada 1 anak. Asalnya mereka bersetuju untuk agih secara faraid, tiba-tiba anak lelaki isteri pertama nak bawa kes ini ke mahkamah tinggi. Adakah keputusan berdasarkan faraid boleh dicabar?
A : Keputusan berdasarkan agihan secara faraid adalah tidak boleh dicabar. Sekiranya di bawa ke Mahkamah Tinggi sekalipun, ia tetap akan dibahagikan secara faraid. Namun, pemutusan di Mahkamah Tinggi adalah bagi tujuan menguatkuasakan pembahagian secara faraid tersebut dan dinyatakan dalam Surat Kuasa Mentadbir / Perintah Pembahagian.

Q23 : Adakah kami semua akan dipanggil untuk bicara atau akan mula tanpa kami dipanggil?
A : Biasanya semua waris akan dipanggil bagi tujuan pengesahan status waris dan pembahagian.

Q24 : Apakah isteri ke 2 layak menerima pusaka dari isteri pertama?
A : Tidak, isteri ke 2 hanya layak menerima harta pusaka daripada arwah suami dan harta sepencarian dari bahagian arwah suami.

Sebarang kemuskilan boleh hubungi atau whatsapp saya di no berikut 0165577653