Soalan : Bolehkan seorang ayah atau ibu mewariskan harta pusakanya kepada anak angkatnya?
Sebelum menjawab persoalan ini, perlulah difahami bahawa Islam adalah agama yang adil dan prihatin kepada semua golongan manusia. Secara fitrahnya asasnya, memang benar anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka secara faraid.
Namun, ibu bapa angkat mempunyai pilihan untuk memberikan sebahagian hartanya kepada anak angkat semasa hidup yang dinamakan sebagai hibah.
Maksud Anak Angkat :
Anak angkat bermaksud anak orang lain yang dijaga dan dipelihara seperti anak sendiri. Anak angkat kebiasaannya diambil oleh pasangan yang tidak mempunyai anak bagi memenuhi dan menambah kebahagiaan didalam sesebuah kekeluargaan. Ibubapa angkat menjaga anak angkat sejak dari kecil hingga dewasa seperti anak kandung sendiri dengan penuh kasih sayang tanpa berbelah bagi. Begitu juga dengan anak angkat akan sentiasa berbakti dan mengasihi ibu bapa angkat hingga ke akhir hayat mereka.
Anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tiada hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat mengikut hukum syarak sekali pun anak tersebut telah dibinkan kepada bapa angkat di dalam sijil kelahiran.
Jom fahami firman Allah S.W.T:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧﴾
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Dalam ilmu perwarisan atau dalam bahasa arabnya, ilmu faraid atau ilmu mirath, ulama’ telah meletakkan sebab-sebab yang membolehkan bagi seseorang itu mewarisi harta si mati pada tiga perkara iaitu:
Hubungan keturunan
Pernikahan
Wala’ (Pembebasan hamba)al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/53
Berkenaan hukum memberi harta pusaka kepada anak angkat
Sekiranya tiada wasiat yang dibuat oleh si mati, maka secara automatiknya jatuh hukum Faraid, kerana anak angkat memang tidak termasuk dalam ahli faraid.
Tetapi, jika ahli waris setuju untuk melepaskan haknya (bahagiannya) kepada ahli bukan faraid maka DIBOLEHKAN.
Dalam situasi dimana jika arwah atau si mati ada meninggalkan anak kandung maka, anak-anak lelaki Puan tidak ada tanggungjawab didalam islam untuk berkongsi harta pusaka arwah dengan anak angkat tersebut. Namun, sekiranya mereka rasa bersetuju untuk melepaskan hak / berkongsi hak maka dibolehkan. TIDAK BERDOSA. Ia hanya akan HARAM jika diberi tanpa persetujuan ahli-ahli faraid.
Kaedah Mewariskan Pusaka kepada Anak Angkat
CARA PERTAMA MELALUI INSTRUMENT WASIAT.
Sekiranya puan ingin memberikan harta peninggalan kepada anak angkat puan, gunakanlah instrumen wasiat. Dibenarkan mewasiatkan 1/3 daripada harta peninggalan kepada ahli bukan Faraid. Manakala 2/3 yang lain akan dibahagikan mengikut faraid.
CARA KEDUA MELALUI PRI-HIBAH.
Pri-hibah ialah pemberian aset kepada sesiapa sahaja untuk harta-harta yang spesifik. Contohnya, tanah, rumah, insurans dan lain-lain kepada anak angkat Puan. Apabila pri-hibah telah dibuat, aset ini tidak akan termasuk dalam pembahagian harta pusaka untuk ahli-ahli faraid. Tetapi, harus diingatkan, setelah berkuat kuasa pemberian hibah kepada bukan anak kandung tidak boleh dibatalkan.
Kesimpulannya
Meskipun begitu, haruslah difahami walaupon tiada hak untuk mewarisi tidak bermakna anak angkat tidak berhak untuk memperolehi harta pusaka dengan cara yang lain seperti hibah dan juga wasiat.
Sebahagian ibu bapa zaman kini membiarkan terus anak angkat mereka tidak mendapat apa-apa disebabkan fahaman bahawa anak angkat tidak layak dan tidak berhak untuk diberikan apa-apa atau sebahagian dari harta pusaka.
Kesimpulannya, di sini anak angkat tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkat mereka disebabkan tiada pertalian darah yang membolehkan berlakunya perwarisan pusaka.
Namun begitu, sebaiknya para waris yang lain mengasihani mereka ini (anak angkat) sepertimana ibu atau bapa angkat mereka mengasihani mereka sewaktu masih hidup.
Oleh yang demikian, antara langkah awal atau inisiatif lain yang boleh diambil oleh ibu atau bapa angkat sekiranya ingin memberikan sebahagian harta mereka kepada anak angkat mereka adalah melalui proses hibah dan juga wasiat.
Namun, mestilah kedua-dua proses ini dilakukan dengan cara yang adil iaitu tidak pula menyusahkan para waris yang lain atau bersikap berat sebelah dalam urusan pembahagian harta, serta mestilah mengikut petunjuk dan juga kadar yang telah ditentukan syariat Islam.
Klik untuk membaca