Permohonan pusaka kecil selalunya jadi halangan bila waris nak jual rumah, urus akaun si mati, atau bahagikan harta dengan betul. Kalau anda dah tahu nilai harta dan siapa waris yang terlibat. Sebenarnya anda dah bersedia untuk mula. Sekarang, anda cuma perlukan panduan yang jelas, dokumen yang lengkap, dan langkah mudah untuk buat permohonan.
Artikel ini ditulis khas untuk anda yang mahu selesaikan urusan pusaka kecil dengan cepat, sah, dan tanpa stress. Kami akan tunjukkan proses sebenar, senarai dokumen yang wajib ada, serta tips penting untuk elak kes tertangguh atau ditolak. Jika anda serius nak urus harta si mati secara sah, teruskan membaca.
- 1) Mengumpul Dokumen Sokongan Pusaka Kecil
- 3) Isi Permohonan Pusaka Kecil Secara Online (Borang A)
- 4) Download Borang A
- 5) Mengangkat Sumpah Dihadapan Pesuruhjaya Sumpah
- 6) Cara Upload Dan Hantar Borang A ke Sistem MyLAND
- 7. Permohonan Pusaka Kecil : Kenapa Perbicaraan Ambil Masa 3 hingga 6 Bulan?
- d. Tips elak kelewatan / permohonan ditolak
- 8. Langkah Buat Bayaran Fi Pusaka Kecil di MyLand
- Tips Tambahan
- Faktor yang mempengaruhi tempoh pengeluaran
- 10. Apa perlu buat selepas terima surat?
- 11. Kenapa Perlu Ulang Bicara Pusaka Kecil?
- Apa perlu buat jika diminta hadir semula?
- Kesimpulan : Carta Pengurusan Pusaka Kecil

Adakah anda tahu apa itu harta pusaka kecil?
Biasanya ia melibatkan permohonan pusaka yang tidak melebihi rm5,000,000.00 semasa permohonan di pusaka kecil. Ia boleh terdiri daripada harta alih dan tidak alih.
Siapa yang layak memohon secara online di Myland Pusaka Kecil?
Antaranya adalah:
- Waris simati
- Pembeli hartanah berkaitan
- Pemiutang (creditor)
- Pemegang amanah
- Majlis Agama Islam Negeri
- Amanah Raya Berhad (ARB)
- Mana-mana pihak yang terbukti mempunyai kepentingan/hak kepada harta pusaka simati
Bila permohonan pusaka kecil boleh dibuat?
Bila-bila masa, tetapi amat digalakkan dengan kadar segera bagi mengelakkan perkara berbangkit jika dilewatkan. Antara isu yang biasa terjadi adalah:
- Dokumen pemilikan hilang
- Waris kemudian meninggal
- Perebutan antara waris
- Mengumpul dokumen sokongan
- Apa itu carian rasmi hartanah?
- Muat turun Borang A Pusaka Kecil
- Mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah
- Di mana boleh jumpa Pesuruhjaya Sumpah?
- Cara upload dan hantar Borang A ke Sistem JKPTG
- Kenapa Perbicaraan Ambil Masa 3 hingga 6 Bulan?
- Tips elak kelewatan
- Langkah Buat Bayaran Fi Pusaka Kecil di MyLand
- Tips Tambahan
- Surat Kuasa Mentadbir akan dikeluarkan
- Faktor yang mempengaruhi tempoh pengeluaran
- Apa yang anda akan terima?
- Apa perlu buat selepas terima surat?
- Kenapa Perlu Ulang Bicara Pusaka Kecil?
- Apa perlu buat jika diminta hadir semula?
- Kesimpulan : Carta Pengurusan Pusaka Kecil
- Sudahkah anda bersedia Urus Pusaka Kecil Tanpa Stress?
1) Mengumpul Dokumen Sokongan Pusaka Kecil
Sebelum memulakan permohonan, pastikan anda faham jenis harta yang termasuk dalam kategori pusaka kecil dan siapa yang layak menjadi pemohon. Anda boleh rujuk definisi pusaka kecil dan syarat permohonan untuk elak kekeliruan.
Selain itu, penting untuk sediakan senarai dokumen sokongan yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan waris, sijil kematian, dan dokumen hak milik harta.
Jika anda belum pasti lokasi pejabat yang menguruskan permohonan ini, semak senarai Pejabat Pusaka Kecil seluruh Malaysia untuk memudahkan urusan.
Sudah bersedia untuk urus pusaka kecil?
Langkah pertama yang paling penting ialah mengumpul dokumen sokongan. Tanpa dokumen lengkap, permohonan anda boleh tertangguh atau ditolak.
a. Fahami tujuan dokumen sokongan
Dokumen sokongan adalah bukti sah yang diperlukan untuk menyokong permohonan pusaka kecil.
Ia membantu pihak berkuasa mengenal pasti harta si mati, waris yang terlibat, dan status pemilikan.
b. Senaraikan semua Harta Pusaka
Sebelum mula cari dokumen, senaraikan dahulu semua harta si mati:
- Rumah, tanah, kenderaan
- Akaun bank, saham, KWSP
- Barang kemas atau aset lain
Ini akan memudahkan anda tahu dokumen mana yang perlu dikumpul.
c. Kumpulkan dokumen asas wajib
Pastikan anda ada dokumen berikut:
- Sijil kematian si mati (salinan yang disahkan)
- Kad pengenalan waris (salinan semua waris yang sah)
- Geran tanah / dokumen pemilikan rumah
- Penyata akaun bank / dokumen harta alih
- Surat pengesahan waris (jika tiada waris yang dikenali umum)l
d. Semak dan sahkan salinan dokumen jika perlu. Kebiasaannya tidak perlu pengesahan melainkan di minta oleh pejabat pusaka berkenaan.
Semua salinan dokumen perlu disahkan oleh pihak yang berautoriti seperti:
- Pegawai daerah
- Pesuruhjaya sumpah
- Ketua kampung (jika perlu)
Ini penting untuk elak dokumen ditolak semasa sesi pendengaran pusaka kecil.
e. Susun dokumen mengikut urutan
Susun dokumen mengikut urutan yang logik dan mudah difahami:
- Dokumen si mati, waris, dan harta.
Gunakan fail atau folder khas supaya semuanya teratur dan mudah dibawa ke Pejabat Pusaka Kecil untuk bicara nanti.
f. Buat semakan semula sebelum isi permohonan di MyLAND
Luangkan masa untuk semak semula semua dokumen:
- Salinan cukup dan jelas?
- Maklumat waris lengkap?
- Carian rasmi dan salinan geran lengkap?
- Penyata akaun bank lengkap dan terkini?
Langkah ini boleh elak kes ditangguh kerana kesilapan kecil.
2) Memohon Carian Rasmi Hartanah
Carian rasmi hartanah ialah proses mendapatkan maklumat lengkap dan sah tentang sesuatu hartanah daripada Pejabat Tanah. Ia menunjukkan status pemilikan, sekatan kepentingan, jenis pegangan, dan maklumat lain yang penting untuk urusan pusaka kecil, jual beli, atau pindah milik.
a. Di mana nak buat carian rasmi?
- Pejabat Tanah dan Galian negeri atau daerah di mana hartanah itu terletak
- Sesetengah negeri menyediakan carian online melalui portal rasmi (contohnya e-Tanah)
b. Dokumen dan maklumat yang diperlukan
Sebelum hadir ke pejabat atau buat carian online, pastikan anda ada:
- Maklumat hartanah: nombor lot, nombor hak milik, mukim, daerah dan negeri
- Kad pengenalan pemohon
- Bayaran fi carian rasmi (biasanya sekitar RM30–RM50 bergantung kepada negeri)
c. Cara buat permohonan carian rasmi
- Isi borang carian rasmi – boleh didapati di kaunter Pejabat Tanah
- Serahkan borang bersama bayaran – tunai atau secara online (jika tersedia)
- Tunggu keputusan carian – biasanya mengambil masa 1–3 hari bekerja
Nota: Tidak semua pejabat tanah menyediakan sistem permohonan Carian Rasmi secara online.
d. Hasil carian rasmi: Apa yang anda akan dapat?
- Nama pemilik hartanah
- Jenis pegangan (pajakan / hak milik kekal)
- Sekatan kepentingan (jika ada)
- Saiz dan lokasi tanah
- Status semasa hartanah
Dokumen ini sangat penting untuk permohonan pusaka kecil, kerana ia membuktikan bahawa si mati memiliki hartanah tersebut secara sah. Untuk makluman, jika terdapat sebarang kesilapan pada nama pemilik / no kad pengenalan / bahagian, anda perlu memaklumkan kepada pejabat tanah untuk buat semakan semula supaya maklumat tepat. Ada beberapa prosedur yang anda perlu buat, ini kena rujuk pejabat tanah berkenaan.
3) Isi Permohonan Pusaka Kecil Secara Online (Borang A)
Anda boleh isi permohonan di MyLAND bagi melengkapkan Borang A pusaka kecil. Berikut langkah mudah untuk isi permohonan pusaka kecil.
Langkah permohonan Borang A Pusaka Kecil
- Lawati laman web rasmi MyLAND
- Klik pada menu “Daftar Akaun Baru” dan lengkapkan
- Klik semula pada paparan “MyLand’ dan login berdasarkan maklumat yang anda isi
- Pergi ke menu dan Pilih “Pembahagian Pusaka (PPK)”
- Kemudian cari “Permohonan Baru” dan klik
- Masukkan no ic si mati, dan terus mengisi segala maklumat yang diperlukan.
- Muat turun dalam format PDF dan cetak Borang A untuk di sahkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.
- Kemudian muatnaik semula ke dalam sistem Myland dan hantar.
4) Download Borang A
Anda dinasihatkan menyemak semula maklumat di dalam permohonan, seperti ejaan pada nama / no kad pengenalan dan seumpamanya. Ini bagi mengelakkan kesilapan pada perintah yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil. Walaupun ia mudah, kesilapan begini boleh menyebabkan anda ulang-alik ke pejabat pusaka kecil untuk dikemaskini.
Jika anda hanya memohon bagi harta alih, anda di nasihatkan memilih tempat berdasarkan alamat penyata bank atau geran sahaja.
Ini bagi mengelakkan permohonan ditolak dan perlu buat pembetulan pada permohonan.
Anda dinasihatkan juga sentiasa save di setiap pindaan yang dibuat dan download versi yang terkini Borang A.
Sekiranya maklumat permohonan dalam sistem berbeza dengan Borang A fizikal. Yang akan ditandatangan di hadapan pesuruhjaya sumpah, permohonan akan ditolak juga.
5) Mengangkat Sumpah Dihadapan Pesuruhjaya Sumpah
Mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah adalah salah satu langkah penting dalam proses permohonan pusaka kecil, terutamanya untuk mengesahkan dokumen atau pernyataan yang berkaitan dengan harta si mati.
a. Apa maksud mengangkat sumpah?
Mengangkat sumpah bermaksud anda membuat pengakuan bertulis secara rasmi dan mengesahkannya di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Ia memberi kuasa sah kepada dokumen yang digunakan dalam urusan pentadbiran pusaka kecil.
b. Di mana boleh jumpa Pesuruhjaya Sumpah?
- Mahkamah Majistret atau Mahkamah Tinggi
- Pejabat guaman yang menawarkan khidmat Pesuruhjaya Sumpah
c. Dokumen berkaitan permohonan pusaka kecil yang perlu disahkan
Dokumen berkaitan pusaka kecil yang mungkin perlu disahkan:
- Borang A (permohonan pentadbiran pusaka kecil)
- Kad pengenalan pemohon
d. Proses mengangkat sumpah
- Sediakan dokumen yang lengkap dan belum ditandatangani
- Hadir ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah bersama kad pengenalan
- Tandatangan dokumen di hadapan Pesuruhjaya
- Pesuruhjaya akan cop dan sahkan dokumen sebagai bukti sumpah telah dibuat
e. Bayaran Perkhidmatan
Bayaran biasanya bermula sekitar RM10 bagi setiap dokumen, bergantung kepada jenis dokumen dan lokasi.
Selepas anda lengkapkan Borang A untuk permohonan pusaka kecil, langkah seterusnya ialah memuat naik semula borang tersebut ke dalam sistem MyLand. Hantar secara rasmi. Berikut panduan mesra pembaca untuk bantu anda:
6) Cara Upload Dan Hantar Borang A ke Sistem MyLAND
1. Layari Portal Rasmi MyLand dan log masuk.
Pergi ke laman web:
https://myland.gov.my/
Masukkan ID pengguna dan kata laluan.
Ini adalah sistem rasmi untuk urus permohonan pusaka kecil secara dalam talian.
2. Muat Naik Borang A
- Pilih menu “Draf Permohonan”
- Pergi ke “Pengesahan Permohonan, klik seterusnya
- Pilih “Tab Borang Permohonan” pada menu “Pemilihan Pejabat Permohonan”
- Pilih “Tab Muatnaik Dokumen dan Perakuan” dalam menu “Borang Permohonan”
- Dalam menu “Muatnaik Dokumen dan Perakuan’, sila muatnaik Borang A yang telah di cop oleh pesuruhjaya sumpah.
- Klik perakuan dan hantar
Pastikan anda:
- Imbas Borang A yang telah ditandatangani dan disahkan
- Muat naik dalam format PDF (saiz fail biasanya <5MB)
- Sertakan dokumen sokongan lain seperti sijil kematian, geran tanah, kad pengenalan waris
3. Semak dan hantar permohonan pusaka kecil
- Semak semula semua maklumat
- Klik “Hantar Permohonan”
- Anda akan terima nombor rujukan untuk semakan status
Selepas hantar: Apa yang berlaku?
- Permohonan akan diproses oleh Unit Pusaka Kecil
- Anda mungkin dipanggil ke sesi pendengaran di Pejabat Tanah
- Status permohonan boleh disemak melalui portal e-Pusaka
7. Permohonan Pusaka Kecil : Kenapa Perbicaraan Ambil Masa 3 hingga 6 Bulan?
a. Proses semakan dokumen
Selepas anda hantar Borang A dan dokumen sokongan, Pejabat Pusaka Kecil akan semak kesahihan maklumat dan pastikan semuanya lengkap.
b. Penjadualan sesi pendengaran
Pejabat Pusaka Kecil akan tetapkan tarikh perbicaraan berdasarkan giliran dan jumlah kes sedia ada. Ini boleh ambil masa beberapa minggu.
c. Panggilan waris ke perbicaraan
Semua waris yang tersenarai akan dipanggil hadir ke sesi pendengaran untuk:
- Sahkan maklumat
- Nyatakan persetujuan pembahagian
c. Keputusan dan Surat Kuasa
Jika tiada bantahan, keputusan akan dikeluarkan dan Surat Kuasa Tadbir / Perintah Pembahagian akan diberikan. Ini membolehkan harta diagih atau dipindah milik secara sah.
d. Tips elak kelewatan / permohonan ditolak
- Pastikan semua dokumen lengkap dan sah
- Dapatkan persetujuan waris awal-awal
- Hadir ke perbicaraan tepat pada masa
- Elak pertikaian atau bantahan semasa sesi
Penting: Persediaan Perbicaraan Pusaka Kecil
a. Kehadiran Pemohon / Pempetisyen.
Wajib hadir ketika perbicaaran, tanpa pemohon perbicaraan boleh ditangguhkan. Berdasarkan pengalaman, pegawai bicara akan banyak bertanya kepada pemohon. Pemohon juga sangat digalakkan menghafal / ingat fakta-fakta penting berkaitan pusaka si mati.
b. 2 Waris Disarankan Hadir Perbicaraan.
Apa yang biasa kami praktis, 3 individu digalakkan hadir termasuk pemohon.
Ini bagi memastikan proses pengesahan waris, fakta serta soal-jawab berkaitan harta pusaka si mati dapat dibuat dengan baik dan jelas.
c. Borang DDA Diperlukan Bagi Yang Tidak Hadir.
Borang DDA sangat penting untuk diserahkan semasa perbicaraan.
Berdasarkan pengalaman, ada pegawai yang tidak mengizinkan perbicaraan dimulakan tanpa DDA daripada mereka yang tidak hadir. Walaubagaimanapun ia bergantung pada budi bicara pegawai.
d. Dokumen Asal Diwajibkan Bawa Semasa Perbicaraan.
Ini sangat PENTING. Bagi yang hadir bicara, anda WAJIB bawa kad pengenalan asal.
Dokumen asal adalah mandatori bagi mengesahkan sebarang maklumat berkaitan harta pusaka, antaranya:
– Sijil kematian
– Sijil nikah
– Geran
– Sijil lahir bagi bawah umur
8. Langkah Buat Bayaran Fi Pusaka Kecil di MyLand
1. Layari Portal MyLand
Pastikan anda menggunakan pelayar web yang disokong seperti Chrome atau Edge.
2. Log masuk akaun pengguna
- Masukkan ID pengguna dan kata laluan
3. Pilih modul Senarai Permohonan
- Klik pada ikon “duit”
- Pilih permohonan yang telah dihantar dan sedang diproses
4. Semak status permohonan
- Pastikan permohonan anda telah diterima dan dijadualkan untuk perbicaraan
- Jika fi diperlukan, sistem akan paparkan jumlah bayaran yang perlu dibuat
5. Klik “Bayar Sekarang”
- Anda akan dibawa ke halaman bayaran
- Pilih kaedah bayaran: FPX (online banking), kad debit/kredit
6. Simpan resit bayaran
- Selepas bayaran berjaya, sistem akan keluarkan resit digital
- Simpan salinan sebagai bukti untuk rujukan semasa perbicaraan
Tips Tambahan
- Pastikan akaun bank anda aktif dan ada baki mencukupi
- Gunakan emel yang sah untuk terima notifikasi bayaran
- Jika ada masalah teknikal, hubungi talian bantuan MyLand atau JKPTG
9. Surat Kuasa Mentadbir / Perintah Pembahagian akan dikeluarkan
Selepas perbicaraan pusaka kecil selesai dan tiada bantahan daripada waris, Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah. Tempoh anggaran untuk dokumen ini siap adalah antara 2 minggu hingga sebulan, bergantung kepada:
Faktor yang mempengaruhi tempoh pengeluaran
1. Jumlah kes yang sedang diproses
Pejabat Tanah mungkin ada banyak permohonan serentak, jadi giliran anda bergantung kepada kecekapan dan beban kerja mereka.
2. Dokumen lengkap dan tiada pertikaian
Jika semua dokumen lengkap dan waris bersetuju, proses lebih cepat. Jika ada bantahan atau dokumen tambahan diperlukan, ia boleh melambatkan sedikit.
3. Jenis harta pusaka
Harta tak alih seperti tanah dan rumah mungkin ambil masa sedikit untuk disahkan sepenuhnya sebelum surat dikeluarkan.
b. Apa yang anda akan terima?
- Surat Kuasa Mentadbir: Jika si mati tiada wasiat dan anda dilantik sebagai pentadbir
- Perintah Pembahagian: Jika waris bersetuju dengan pembahagian dan ia diluluskan oleh Pegawai Pusaka
Dokumen ini membolehkan anda:
- Menjual atau pindah milik harta
- Urus akaun bank si mati
- Laksanakan pembahagian kepada waris secara sah
Anda boleh rujuk artikel berkaitan Surat Kuasa Mentadbir dan info penting berkaitannya.
10. Apa perlu buat selepas terima surat?
Anda sebagai pemohon jika dilantik sebagai Pentadbir, anda perlu menguruskan harta pusaka berkenaan. Boleh rujuk artikel ini Tugas Penting Sebagai Pentadbir Harta Pusaka .
Dokumen yang anda terima, boleh:
- Simpan salinan asal dengan baik
- Serahkan kepada pihak berkaitan (bank, pejabat tanah, peguam) untuk urusan lanjut
- Laksanakan pembahagian seperti yang dipersetujui
11. Kenapa Perlu Ulang Bicara Pusaka Kecil?
a. Dokumen tidak lengkap atau salah
Jika masa perbicaraan ada dokumen yang tak sah, hilang, atau maklumat bercanggah. Pegawai Pusaka boleh arahkan supaya perbicaraan dibuat semula. Ini hanya akan berlaku selepas pembetulan selesai.
b. Waris tidak hadir
Kehadiran semua waris yang sah sangat penting. Jika ada waris yang tidak hadir tanpa sebab munasabah, perbicaraan mungkin ditangguh dan dijadualkan semula.
c. Pertikaian atau Bantahan
Jika ada waris yang tidak bersetuju dengan pembahagian harta atau melahirkan bantahan semasa sesi. Pegawai Pusaka boleh arahkan ulang bicara untuk beri ruang kepada penyelesaian atau rundingan lanjut.
d. Maklumat tambahan diperlukan
Kadangkala, Pegawai Pusaka perlukan dokumen tambahan seperti surat pengesahan waris, bukti pemilikan harta, atau akuan sumpah baru.
Perbicaraan akan diulang selepas dokumen lengkap diserahkan.
e. Kesilapan Prosedur
Jika berlaku kesilapan teknikal atau prosedur semasa sesi pertama (contohnya borang tidak ditandatangani dengan betul), ulang bicara akan dijadualkan untuk pembetulan.
Apa perlu buat jika diminta hadir semula?
- Pastikan semua dokumen yang diminta telah disediakan dan disahkan
- Hubungi waris lain dan pastikan mereka boleh hadir
- Semak tarikh dan masa baru yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah
- Hadir tepat waktu dan bersedia untuk beri kerjasama.
Kesimpulan : Carta Pengurusan Pusaka Kecil
Bila harta tidak diurus, rumah tidak boleh dijual, akaun si mati terus beku dan hubungan keluarga boleh jadi tegang. Anda tidak keseorangan dan situasi ini boleh diubah.
Bila anda tahu proses sebenar. Seperti dokumen yang diperlukan dan langkah praktikal untuk urus pusaka kecil dengan sah. Anda tahu di mana nak mula, ke mana nak pergi, dan apa yang perlu disediakan.
Dengan langkah-langkah yang diberikan diatas, anda tidak perlu tunggu orang lain. Anda boleh bertindak sendiri. Isi borang, buat carian hartanah, angkat sumpah, dan hadir ke perbicaraan. Anda mampu urus harta si mati dengan yakin dan sah di sisi undang-undang.
Jangan tangguh lagi. Tindakan anda hari ini boleh elak masalah besar di kemudian hari. Jika serius mahu selesaikan urusan pusaka kecil dengan cepat dan tanpa tekanan, mulakan sekarang.
Keluarga anda akan berterima kasih kerana tindakan anda.
Semua urusan pusaka kecil dapat diselesaikan dengan mudah, sekiranya anda tahu proses dan dokumen yang diperlukan.