Home » Wasiat » 12 Panduan Wasiat

“Bagaimana menulis wasiat? Akak urgent nak buat. Nak tahu lebih tentang wasiat dan hibah.” – Ibu kepada 6 orang anak

Keluhan seorang ibu dihadapan anak-anaknya ketika Hanaffi berkongsi tentang wasiat. Baru-baru ini Hanaffi telah dijemput ke Kuala Selangor berjumpa dengan sebuah keluarga. Kedatangan Hanaffi seperti ditunggu-tunggu. (Cerita nie dah lama, bukan zaman covid-19 taw).

Ini adalah kisah Akak Jun.

Bila Hanaffi jejak ke rumah, semua dah ada depan pintu. Dalam hati bermonolog “Ramainya, ini dah meeting besar nie. Ada apa-apa ke nie?”

Akak Jun bersuara semasa Hanaffi berkongsi tentang perancangan harta.

“Akak urgent nak buat wasiat, bagaimana menulis wasiat?” Keluh Akak Jun seperti menyimpan seribu 1000 rahsia di wajahnya.

“Dah macam-macam masalah sekarang nie Hanaffi. Diatas sebuah tanah, ada 3 pintu. Abang ipar pernah kata pada suami akak, yang dia serahkan sebuah rumah. Dia bagi sebab tiada siapa nak jaga mak mertua, maklumlah orang bisnes. Jadi susah nak jenguk mak di kampung.”

“Pada masa yang sama, abang ipar menyatakan dia menyerahkan sebuah rumah pada maknya untuk tinggal berdekatan kami. Akak Jun dan suami yang jaga makan minum selama ini. Akak tak kisah sangat pon, lagipon kami buat kerana Allah swt, ikhlas nak jaga mak.”

“Hampir 5 tahun jaga mak mertua, sebelum menghembuskan nafas terakhir mak mertua pernah bagitahu pada kami yang dia nak serahkan rumahnya kepada kami. Terkejut kami. Mungkin nak balas jasa kerana sentiasa jaga makan dan minum dihujung usianya. Tak pernah harap pon sebab abang ipar dah bagi satu pintu.”

“Abang long memang jarang balik. Mungkin sibuk sangat cari bisnes. Masa mak meninggal pon kejep je ada. Esok lusa dah balik KL. Entah la, tak faham nak cerita cam mana.”

“Dah lama senyap tiba-tiba abang long cakap dia nak kami semua keluar dari rumah yang dia bagi tu sebab mak dah meninggal, tiada kepentingan kami disitu.”

“Berperang juga kami. Tapi kami tak ade ilmu sangat pasal bab-bab harta nie, kami ambil tahu pun bila dah jadi macam nie.”

Itulah cerita yang berlaku pada keluarga Akak Jun.

Hanaffi yang dengar cerita pon stress. Nak selesaikan agak rumit melainkan abang iparnya bertolak ansur. Keluarga Akak Jun bukanlah orang berduit sangat jika nak lantik lawyer.

Baca : Pengurusan Harta Pusaka

12 Panduan Wasiat

1. Garis Panduan Wasiat

Saya berkongsi 12 panduan wasiat yang wajib diketahui bagi mereka yang ingin berwasiat dengan sempurna. Fahami 12 panduan mudah untuk berwasiat dengan sempurna.

1.1. Mengetahui Perbezaan Wasiat / Hibah / Harta Sepencarian

Ini sangat penting, walaupun nampak sama tapi ia berbeza dari segi pelaksanaan. Wasiat pelaksanaan selepas kematian pewasiat manakala hibah semasa hidup.

Contoh kes wasiat yang Hanaffi jumpa, pewasiat telah nyatakan hasrat dalam wasiat bagaimana harta beliau nak diagihkan nanti. Setiap anak akan dapat harta masing-masing, anak 1 nak diberi kereta, anak 2 nak diberi tanah, anak 3 nak diberi rumah.

Selepas berlaku kematian pewasiat, mereka berbalah tidak berpuas hati dengan pemberian arwah kerana terdapat jurang yang besar dari segi nilai harta. Masing-masing mempertikai kenapa arwah menyatakan hasrat yang tidak adil.

Sepatutnya harta wasiat yang ditinggalkan menjadi bekalan pahala, tetapi sebaliknya. Siapa yang rugi? Pewasiat itu sendiri.

Bagi harta sepencarian pula, ia tidaklah automatik akan dapat. Ia perlu dituntut di mahkamah syariah dan diputuskan oleh mahkamah berapa bahagian yang dapat.

Baca : Antara Faraid, Hibah Dan Wasiat Mana Satu Yang Terbaik?

Baca : Proses Tuntutan Harta Sepencarian

1.2. Kenal Pasti Waris Faraid Dan Bahagian Yang Bakal Di Terima

Ini adalah langkah kritikal perlu dibuat oleh pewasiat bagi mengetahui siapakah yang layak diantara mereka dan bahagian yang bakal diterima. Ini bagi mengelakkan pertikaian atau perbalahan dikemudian hari diantara mereka.

Apabila jelas, pewasiat mampu buat perancangan yang lebih baik untuk waris dan disarankan berkongsi tentang ilmu faraid kepada ahli waris juga.

Selain itu, kita juga tidak mahu campur tangan dari pihak yang tidak berkepentingan seperti ipar-ipar, dikuatiri mereka mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat nanti.

Banyak kes pusaka yang Hanaffi jumpa, ipar yang menjadi punca perbalahan dan melambatkan proses pengurusan pusaka arwah sedangkan anak-anak arwah tiada isu semasa perbincangan.

Tambahan itu, pewasiat dapat memberikan tanggungjawab kepada waris. Seperimana yang kita ketahui bahagian faraid anak lelaki adalah lebih daripada anak perempuan dan isteri, kita dari awal berkongsi atau memberikan pendedahan tentang tanggungjawab mereka kelak agar mereka tidak lupa diri.

Baca : Kadar Dan Syarat Bagi Setiap Ahli Waris

Baca : Hibah Kepada Anak

1.3. Kenal Pasti Harta

Pewasiat perlu senaraikan kesemua harta samada harta alih dan tidak alih. Perkara ini sering diabaikan oleh pewasiat, kenapa perlu senaraikan? Pertama kita nak mudahkan tugas wasi yang dilantik kelak. Tak perlu mereka mengambil masa yang lama untuk senarai pendek harta anda.

Kedua kita nak jelas pemilikan harta tersebut, ia adalah milik pewasiat. Mungkin pewasiat beli guna nama orang lain. Ini tidak dikira sebagai harta pewasiat kerana atas kertas nama orang lain.

Begitu juga, orang beli guna nama pewasiat. Asalnya nak tumpang nama saja, tapi dia bayar installment. Ini dikira harta pewasiat, jika pewasiat meninggal ia akan jadi harta pusaka pewasiat. Sebab itu perlu senaraikan dan semak setiap satu. Memang banyak keje, tapi berbaloi. Percayalah.

1.4. Senaraikan Hutang Dan Pemiutang

Ini sangat penting sehinggakan Rasullulah tidak sembahyangkan jenazah yang berhutang. Rasullulah juga pernah bersabda dosa orang yang mati syahid tidak diampunkan kecuali hutang, hadith ini dari Amr Bin Ash. Jadi tanggungjawab pewasiat untuk menyelesaikan hutang yang ada walaupon sudah meninggal.

Sebab itu pewasiat perlu amanahkan wasi yang dilantik untuk menguruskan hutang anda agar mati tidak dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.

Terdapat banyak kes pusaka, hutang arwah tidak dijelaskan terlebih dahulu. Ini kerana waris sibuk nak agihkan pusaka sehingga hutang arwah terlupa diselesaikan.

Hutang yang akan ditanggung oleh pihak takaful/insurans mudah, sebab apabila anda meninggal ia akan dilangsaikan seperti loan rumah / personal loan.

Tetapi hutang dengan individu amat sukar dilangsaikan jika tidak dinyatakan kepada pihak wasi. Terdapat kes individu yang menuntut membuat nota dan diletakkan dibatu nisan! Ini kisah benar. Anda sanggup begitu?

Hutang ini merangkumi hutang dengan Allah seperti zakat, haji, fidiyah, nazar, qada, kaffarah dan nazar pihak wasi boleh uruskan. Yang penting senaraikan.

1.5. Draf Perancangan Harta

Ini terpulang kepada pewasiat, terdapat beberapa kaedah untuk agihkan harta anda kelak, iaitu cara faraid / muafakat / samarata / hasrat.

Baca : Siapa Perlu Hibah Dalam Perancanan Harta

Dalam wasiat pembahagian harta hanya dilakukan selepas pewasiat meninggal dunia dan ia akan berbalik pada perbincangan ahli waris. Tidak wajib bagi ahli waris melaksanakan atau bersetuju dengan arahan pewasiat.

Berikut adalah contoh arahan wasiat:

Contoh arahan setiap harta, pewasiat boleh buat bagi setiap harta seperti dibawah:

  • Rumah diserahkan kepada isteri 70%, anak 30%.
  • KWSP diserahkan 70% kepada isteri, 15% kepada ayah, 15% kepada ibu.
  • Akaun Maybank diserahkan kepada anak 1 100%
  • Akaun RHB diserahkan kepada anak 2 100%
  • Akaun Cimb diserah kepada anak 3 100%
  • Saya mewasiatkan isteri saya adalah penjaga kepada anak saya. Sekiranya beliau meninggal dunia serentak dengan saya, saya melantik adik saya (nama & ic) sebagai penjaga kepada anak saya.

Contoh arahan wasiat bagi keseluruhan harta:

  • Saya menyerahkan keseluruhan harta saya kepada isteri 70%, anak 30%.
Contoh Arahan Wasiat

Dalam situasi tertentu hibah menjadi pilihan utama. Banyak juga client Hanaffi yang buat hibah bagi harta yang utama seperti rumah kerana mereka ingin hibahkan rumah tersebut kepada individu tertentu seperti anak atau pasangan.

Baca : Soalan Lazim Hibah

1.6. Melantik Wasi

Proses pengurusan harta pewasiat akan diuruskan oleh wasi yang dilantik selepas meninggal dunia yang sepatutnya diuruskan oleh waris.

Sangat disarankan melantik wasi professional.

Jika nak harapkan waris entah bila mereka akan uruskan, jika timbul masalah pasti proses pindah milik akan mengambil masa yang panjang. 5 tahun belum tentu selesai.

Tugas wasi adalah:

  • Memohon sijil faraid di mahkamah syariah
  • Mendapatkan probet di mahkamah tinggi
  • Menyelesaikan hutang si mati
  • Melaksanakan amal jariah pewasiat
  • Agihkan harta pewasiat kepada waris
  • Memelihara harta bagi waris yang bawah umur
  • Wasi akan jadi pemudah cara atau orang tengah dalam perbincangan keluarga
  • Menjamin kebajikan waris faraid

1.7. Wasiat Amal Jariah

Bahagian ini anda disarankan buat, rezeki Allah dah bagi banyakkan. Sedekah / wakaf selepas kematian akan tertakluk kepada hanya 1/3 dari keseleluruhan harta pewasiat. Jika melebihi daripada 1/3 perlu mendapatkan persetujuan waris faraid terlebih dahulu.

Sebagai contoh pewasiat mempunyai sebidang tanah bernilai RM100,000.00 untuk diwakafkan, anggaran aset lain bernilai RM100,000.00 juga. Nilai tanah yang nak diwakafkan adalah 1/2 daripada keseluruhan harta. Maka ia perlu mendapatkan persetujuan waris faraid pewasiat seperti yang dinyatakan iaitu mak dan ayah, suami dan anak-anak (mereka yang masih hidup).

Rasullulah pernah bersabda “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (dari jumlah harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan memintta daripada tangan-tangan manusia.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Berikut adalah contoh wasiat amal jariah oleh pewasiat.

Wasiat 1/3 Bahagian

1.8. Lantik Penjaga Anak

Pewasiat perlu melantik penjaga bagi anak yang bawah umur andai mereka (suami-isteri) meninggal serentak. Boleh melantik 2-3 individu yang boleh dipercayai bagi mengurus dan menjaga kebajikan anak tersebut.

Lantik Penjaga Anak

Berikut adalah contoh klausa yang dinyatakan dalam wasiat.

“Saya mewasiatkan suami/isteri saya (nama) adalah penjaga kepada anak saya. Sekiranya beliau meninggal serentak dengan saya, maka saya melantik abang saya (nama) dan adik saya (nama) sebagai penjaga kepada anak saya.”

Untuk makluman anda, suami sangat disarankan membuat wasiat seperti diatas kerana hak penjagaan anak dan harta anak bawah umur 18 tahun tidak akan terus dapat kepada isterinya.

Ini berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam menyatakan bapa diberi keutamaan menjaga anak dan hartanya. Mengikut undang-undang hak menjaga akan diserah kepada datuk sebelah suami, jika datuk meninggal dunia hak penjagaan akan diserahkan kepada wasi yang dilantik. Nampak, masih bukan isteri.

1.9. Kemaskini Status Penamaan

Pewasiat disarankan kemaskini penama dalam institusi kewangan bagi memastikan penama / pentadbir yang betul dinamakan.

Elak meletakkan penama dibawah umur dan penama yang dinamakan bukannya pemilik mutlak kepada wang tersebut, hanya sebagai pentabdir.

Terdapat beberapa institusi menyediakan perkhidmatan hibah antaranya:

  • ASB
  • Tabung Haji
  • Takaful

Anda boleh senaraikan harta yang dihibah dalam wasiat sebagai makluman kepada wasi andai suami-isteri meninggal serentak.

1.10. Manfaat Kematian

Apabila berlaku kematian secara tiba-tiba, kita akan seperti hilang arah dan tak tahu nak buat apa. Tambah lagi jika keadaan keluarga tidak banyak harta, kita perlukan banyak dana untuk menampung kos pengebumian.

Hanaffi senaraikan agensi yang terlibat yang menyediakan manfaat khairat kematian bagi membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung.

  • masjid : RM500 – RM5000
  • PERKESO : RM2000
  • KWSP : RM2500
  • BRIM : RM1000
  • ASNB : RM2000
  • Skim Takaful : RM2000 – RM5000
  • Persatuan Berdaftar/NGO/Koperasi : RM500 – RM5000
  • Khairat kematian Syarikat (Bergantung kepada syarikat anda, disarankan semak dengan HR syarikat).
  • Bantuan mengurus jenazah JPA : RM3000

Terdapat banyak manfaat lagi manfaat yang boleh waris tuntut, waris harus berhubung secara terus kepada agensi yang terlibat.

1.11. Kos Yang Terlibat

Disini Hanaffi sediakan kos yang akan dikenakan kelak. Buka file antara RM1400. Bagi fee pelaksanaan adalah seperti berikut (kos yang dikenakan semasa wasi ingin menjalankan tugasnya.

Fee mengikut nilai harta semasa meninggal.
1.8% bagi nilai harta RM1,000,000.00 kebawah
1.0% bagi nilai harta RM1,000,000.00 keatas
0.5% bagi nilai harta RM10,000,000.00 keatas
0.25% bagi nilai harta RM50,000,000.00 keatas

*Fi tidak termasuk disbursement dan yuran guaman bagi permohonan Geran Probet dan Perintah Pembahagian.

*Caj yang dikenakan oleh syarikat adalah berbeza antara satu sama lain. Anda boleh berhubung secara terus dengan syarikat yang anda suka.

Baca : Berapa Kos Pelaksanaan Hibah

1.12. Sediakan Dana

Pewasiat disarankan ambil pelan perlindungan takaful mengikut risiko dan kemampuan. Duit tersebut akan banyak membantu waris dalam meneruskan kehidupan selepas ketiadaan pencari sumber rezeki.

Mereka yang pernah kehilangan pasangan merasai kesusahan tanpa sumber kewangan yang mencukupi. Banyak perkara harus disusun semula, sangat perit apabila anak-anak masih kecil dan perlukan bantuan kewangan.

Fungsi pelan perlindungan takaful adalah:

  1. Pengganti gaji
  2. Membayar Fi Pengurusan wasiat & hibah
  3. Selesaikan hutang yang ada

Cara pengiraan mudah. Berapa tahun kita mahu gaji kita digunakan oleh waris yang ditinggalkan.

Contoh RM5,000 x 12 bulan = RM60,000.00 setahun.

Jika anda fikir pasangan anda perlukan 5 tahun perbelanjaan bagi menguruskan rumahtangga, maka kiraan adalah seperti berikut:

RM60,000.00 setahun x 5 tahun = RM300,000.00 dana yang diperlukan. Mudahkan?

Baca : Kelebihan Dan Kepentingan Hibah Takaful

2. Soalan Lazim Wasiat

Q : Adakah boleh wasiat secara lisan boleh?

A : Boleh tetapi tidak digalakkan kerana akan berlaku pertikaian dikemudian hari.

Baca : Wasiat Secara Lisan

Q : Bagaimana kiraan faraid bagi Akak Jun dan suami?

A : Kiraan bahagian faraid bagi harta Akak Jun dan suami adalah seperi berikut. Akak Jun mempunyai mak dan ayah, manakala mak dan ayah suaminya sudah meninggal dunia. Mereka mempunyai 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.

Anggaran nilai harta adalah RM200,000 bagi tujuan pengiraan.

Bahagian faraid Akak Jun jika meninggal dunia:

Mak : 4/24 bahagian (RM33,333.33)
Ayah : 4/24 bahagian (RM33,333.33)
Suami : 6/24 bahagian : RM50,000.00
Anak lelaki 1 : 2/24 bahagian (RM16,666.67)
Anak lelaki 2 : 2/24 bahagian (RM16,666.67)
Anak lelaki 3 : 2/24 bahagian (RM16,666.67)
Anak lelaki 4 : 2/24 bahagian (RM16,666.67)
Anak perempuan 1 : 1/24 bahagian (RM8,333.33)
Anak perempuan 2 : 1/24 bahagian (RM8,333.33)

Bahagian faraid suami Akak Jun jika meninggal dunia:

Isteri : 10/80 bahagian (RM25,000.00)
Anak lelaki 1 : 14/80 bahagian (RM35,000.00)
Anak lelaki 2 : 14/80 bahagian (RM35,000.00)
Anak lelaki 3 : 14/80 bahagian (RM35,000.00)
Anak lelaki 4 : 14/80 bahagian (RM35,000.00)
Anak perempuan 1 : 7/80 bahagian (RM17,500.00)
Anak perempuan 2 : 7/80 bahagian (RM17,500.00)

Q : Kenapa Akak Jun dapat kurang dari anak jika suami meninggal dunia? Anak masih bawah umur.

A : Itu adalah kiraan faraid dalam Al Quran, boleh rujuk surah An Nisa (4) / ayat 11, 12 dan 176. Dalam wasiat suami boleh nyatakan hasrat bahagian yang ingin diserahkan kepada Akak Jun, mungkin 60% atau 100%. Tiada masalah. Tetapi ia akan dibincangkan semula selepas kematian pewasiat.

Tetapi jika ada bahagian yang telah ditetapkan nak bagi pada isteri. Suami boleh buat hibah bagi hartanya, begitu juga isteri.

Baca : Apa Itu Hibah Rumah Bercagar

Q : Adakah wajib berwasiat?

A : Tidak wajib berwasiat, tetapi ia adalah satu amalan yang dianjurkan oleh Islam seperti dinyatakan oleh Rasullulah dari Abdullah Bin Umar: “Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat Bukhari)

Q : Wasiat boleh dibatalkan atau diubah?

A: Ya boleh. Hanya menulis surat ringkas kepada wasi menyatakan menbatalkan wasiat. Bagi situasi lain pula, wasiat terkini akan membatalkan wasiat yang lama secara automatik. Jika ingin menukar isi kandungan wasiat, pewasiat sahaja yang dibenarkan ubah. Itu bagi situasi pewasiat masih hidup.

Bagi kes pewasiat sudah meninggal pula bagaimana? Perbincangan antara waris akan memainkan peranan besar samada ingin melaksanakan seperti dalam kandungan wasiat atau sebaliknya secara samarata / muafakat / faraid, waktu inilah kepakaran wasi diperlukan.

Q : Saya terbaca harta wasiat tidak boleh diwasiatkan kepada ahli waris. Betul ke? Confius saya, disebabkan itu saya buat keputusan tak nak buat wasiat.

A : Saya minta maaf, ejen-ejen wasiat/hibah menggunakan point itu untuk merancankkan penjualan produk hibah mereka. Perkara ini sampai menjadi isu besar. Hampir kesemua individu yang Hanaffi jumpa mengadu masalah yang sama.

Jawapan adalah boleh, tiada masalah. Kita rujuk fatwa berkaitan bahagian 1/3 kepada ahli waris yang bersidang pada 20 April 2018 oleh Mesyuarat Jawatankuasa Negeri Selangor Kali ke 2/2018. Memutuskan bahawa:

“Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris hendaklah tidak berkuatkuasa sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya selepas kematian pewasiat.”

Q : Kawan Akak Jun tanya, dia ada anak angkat macam mana? Perlu ke buat wasiat?

A : Wasiat boleh buat kepada bukan waris faraid seperti anak angkat, disarankan buat perancangan harta melalui wasiat atau hibah. Jika tak buat langsung, anak angkat tidak layak mewarsi harta melalui faraid. Dengan wasiat mereka akan layak terima tidak kurang 1/3 dari nilai harta, jika lebih 1/3 perlu persetujuan waris faraid yang lain. Hibah boleh bagi 100% tanpa sebarang syarat.

Q : Kenapa majoriti rakyat Malaysia tidak berminat untuk berwasiat?

A : Banyak sebab antaranya:

  • Tiada ilmu tentang pengurusan harta.
  • Tiada pendedahan situasi sebenar pengurusan harta tanpa wasiat.
  • Ramai beranggapan faraid dah ada, cukup sebagai penyelesaian. Tetapi hakikatnya faraid adalah kaedah pembahagian harta pusaka bukan cara pengurusan harta yang perlu diuruskan oleh waris.
  • Beranggapan wasiat hanya sesuai dibuat ketika nyawa dihujung tanduk. Dah nak mati baru perlu berwasiat. Maaf bahasa kasar.
  • Beranggapan kos pengurusan wasiat mahal.
  • Beranggapan jika wasiat akan menyebabkan kematian.
  • Tiada ilmu tentang pengurusan harta.
  • Tiada pendedahan situasi sebenar pengurusan harta tanpa wasiat.

Baca : Soalan Lazim Wasiat

3. Kesimpulan

Garis panduan mudah untuk berwasiat. Sangat penting berwasiat dan melantik wasi agar harta tidak terus terbeku begitu sahaja. Sudah banyak kes berlaku dan anda boleh perhatikan apa yang telah berlaku pada masyarakat melayu terutamanya.

Sudah tiba waktunya kita merancang harta pusaka bagi memudahkan urusan waris dan melepaskan belengu jika kita meninggal tanpa merancang.

4. Hubungi Kami

Pihak kami mampu menyediakan dokumen hibah dan sempurnakan penyerahan hibah kepada penerima. Hubungi En Hanaffi Idris 016-5577653 untuk dapatkan khidmat nasihat.

Jika ada sebarang soalan, komen dibawah. Kami akan segera jawab persoalan anda!

author avatar
hanaffi idris

Share This Post

Dapat E-Book Hibah Percuma

Khas untuk anda

19 Responses

  1. Salam..nama akak kakzie…suami akak meninggal pd 21 julai 20202 dah 4bln…disini akak nak tanya pd en hanafi..arwah suami akak ada bt wasiat dlm wasiat arwah ada mtk adik lelaki dan adik perempuan melepaskan dgn rela hak mereka pd akak,anak2 perempuan akak serta mertua..pihak amanahraya memberitahu jika adik lelaki arwah xsetuju wasiat tersebut maka pembahagian perlu mengikut faraid sedang arwah tahuadik lelaki arwah pengisap dadah dah tentu adik dia akan menghabiskan duit pd jn yg slh bagaimana hak anak2 sy?disini akak nak menanyakan adakah aka blh mohon atau gunakan peguam?akak setuju jika pembahagian antara akak dan mertua seperti wasiat kehendak arwah

    1. wasalam. Saya tak pasti harta apa yang arwah tinggalkan. Jika melibatkan rumah mmg rumit jika nak faraid. Saya cadang, akak zie tuntut harta sepencarian dulu baru agih ikut faraid, jika adik beradiknya tidak mahu melepaskan bahagian. Jika terdapat sebarang soalan boleh call/wasap: 016-5577653 atau klik link wasap ini: https://wa.me/60165577653

  2. As salam Tn..
    Boleh tahu brp fi yg dikenakan sekiranya mmilih hibah mutlak..
    Drpd sumber harta dan simpan yg ada
    Cth
    Rumah (habis bayar)
    Saham (tunai)
    Tabung haji (tunai)
    Simpanan tunai (dibank)

    Adakah perkara diatas fi yg dikenakan berlainan mengikut syarikat yg dipilih oleh saya…atau ada std fi atau jadual fi yg dikenakn mengikut nilai harta yg ada.Terimakasih..

    1. wasalam.

      bagi hibah hartanah yang terus tukar milik semasa hidup dalam RM4K. Dokumentasi dan caj pindah milik semasa hidup.

      bagi hibah yang dibuat selepas kematian penghibah, anggaran dalam rm2650 untuk dokumentasi. Tidak termasuk pelaksanaan pindah milik.

  3. Salaam, Tuan.
    Berkenaan kiraan faraid Akak Jun di atas, senario yang diperkatakan mengatakan anaknya 4 perempuan dan 2 lelaki. Akan tetapi, kiraan yang dibuat menggunakan senario 4 lelaki dan 2 perempuan. Mungkin kesilapan ejaan?

  4. Salam Tuan Hanaffi,

    Jika Si Arwah hartanya ke ibu, isteri dan anak-anak tapi salah seorangnya tidak bersetuju dengan wasiat itu. Wasiat kepada ahli waris memerlukan persetujuan terhadap wasiat.

    Apakah cara untuk membatalkan wasiat? Adakah perlu dicabar di mahkamah syariah atau sekadar tidak menandatangi persetujuan wasiat itu?

  5. Assalamualaikum tuan..

    Pewasiat telah membuat wasiat di amanahraya juga bermaksud telah melantik amanahraya utk menguruskan harta pewasiat.
    Hasil perbincangan , anak-anak pewasiat telah bersetuju dgn wasiat tersebut dan mereka bersepakat utk menguruskan sendiri harta-harta yg telah dibahagikan tersebut. Dalam erti kata tidak mahu meneruskan proses di amanah raya.

    Dalam hal ini, apa pendapat tuan? Adakah dibolehkan dan adakah bercanggah dgn apa-apa hukum. Minta penerangan yg jelas daripada pihak tuan.

    Terima kasih atas segala jasa baik tuan.

    1. tiada masalah. wasiat dibuat bagi melantik pihak ke3 untuk menguruskan harta si mati.

      jika maksud cik isi kandungan wasiat, kena tgk apa hasrat arwah.

      apa2 boleh wasap saya 0165577653

  6. Assalamualaikum
    Saya menulis wasiat pengagihan harta dan saksi adalah adik kandung saya.adakah wasiat itu sah.

  7. Salam.sy nak tya sy ada dpt tuntutqn mahkamah menuntut tanah yg kami usahakan sekarang tanah pusaka tu dr arwah abah. Penuntut kata ada wasiat mengatakan tanah tu diberikan kepada ayah mereka. Kami generasi ke 5 harta pusaka tersebut. Wasiat asal kami x diberikan cuma salinan wasiat yang sudah di double taip dr salinan asal. Penerima wasiat dan saksi dalam wasiat semua dah meninggal dunia. Mohon pencerahan.

    1. 1) isu berkenaan wasiat nie, perlu ada persetujuan waris faraid.. jika hanya 1/3 bahagian boleh diberikan kepada bukan waris tanpa perlu persetujuan waris faraid.

      2) kesahihan juga perlu dilihat, mungkin ia direka-reka.

      1. Harta pusaka yang dituntut sudah lama iaitu wasiat tahun 1936.harta tersebut dah 5 generasi difaraed. Peguam pendakwa suruh kami cr peguam kalau x setuju untuk serahkan harta pusaka yg dituntut. Sebutan kes 5 may nanti. Boleh tuan bg pandangan.Adakah perlu kami ambil peguam atau kemungkinan tuntutan mereka akan berhasil kerana kami tidakelantik peguam.

    2. Harta pusaka yang dituntut sudah lama iaitu wasiat tahun 1936.harta tersebut dah 5 generasi difaraed. Peguam pendakwa suruh kami cr peguam kalau x setuju untuk serahkan harta pusaka yg dituntut. Sebutan kes 5 may nanti. Boleh tuan bg pandangan.Adakah perlu kami ambil peguam atau kemungkinan tuntutan mereka akan berhasil kerana kami tidakelantik peguam.

    1. boleh. tp saya saran buat dengan syarikat amanah yang menyediakan wasiat yang lebih detail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nak kami bantu anda?

Hubungi segera untuk sesi konsultansi percuma

© 2021 SEZARAH NUR VENTURE (SA0388691-M) . All rights reserved

hanaffi.com

error: Content is protected !!