Antara Faraid, Hibah dan Wasiat Mana Satu Yang Terbaik?


Home
»
Hibah
»
Antara Faraid, Hibah dan Wasiat Mana Satu Yang Terbaik?

https://youtu.be/RQFVEH_cG10

Apabila kita jelas perbezaan faraid, wasiat dan hibah barulah ia akan memudahkan kita merancang harta pusaka dengan lebih baik.

Semoga perancangan ini menjadi amal kebaikan pada kita, surah Al Mulk (67) / ayat 2

2. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

1. Perbezaan Faraid, Hibah dan Wasiat

Terdapat perbezaan ketara antara faraid, wasiat dan hibah ini. Keputusan yang dibuat akan menentukan nasib waris dikemudian hari.

1.1. Maksud dan Dalil

i) Faraid

Faraid adalah pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sepertimana dinyatakan dalam Al Quran surah An Nisa (4), ayat 11, 12 dan 176.

Baca : Kadar Dan Syarat Bagi Setiap Ahli Waris

Berdasarkan sejarah zaman Nabi Muhammad SAW, balu kepada Saad Bin Al-Rabi datang berjumpa Rasullulah dengan membawa 2 orang anak perempuan yang masih kecil.

Beliau mengadu kepada baginda bahawa “Wahai Rasullulah, ini adalah anak-anak Saad Bin Al-Rabi dan bapa mereka telah berjuang bersamamu dan gugur syahid dalam pertempuran Uhud. Kini bapa saudara mereka telah mengambil kesemua harta arwah Saad Bin Al-Rabi sehingga mereka tidak mempunyai apa-apa pun.”

Kisah ini disampaikan oleh Jabir r.a dan diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Al-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.

Lalu turunlah perintah Allah SWT untuk agihkan harta sepertimana dinyatakan dalam surah An Nisa. Nabi mengarahkan kepada kepada bapa saudara kepada anak tersebut agihkan secara faraid.

Untuk makluman, pada zaman jahiliah pembahagian pusaka diserahkan golongan lelaki yang mampu mempertahankan kabilah dan keluarga dari serangan musuh. Ia juga diberikan kepada penerima berdasarkan keturunan, perjanjian dan anak angkat.

Lebih teruk apabila golongan wanita tidak diberikan hak pusaka dan dianggap lemah oleh masyarakat jahiliah pada masa itu.

ii) Wasiat

Kita rujuk kitab feqah mazhab syafie, wasiat dari segi bahasa bermaksud menghubungkan atau menyampaikan. Manakala dari segi syarak pula bermaksud sumbangan sesuatu yang dilaksanakan selepas kematian.

Dengan sumbangan ini, pewasiat berharap agar apa yang diperbuat mendapat ganjaran diakhirat kelak.

Berdasarkan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, wasiat merupakan iqrar seseorang yang dibuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas berlaku kematian.

Pensyariatan wasiat pula dinyatakan dalam Al Quran, surah Al Baqarah (2), ayat 180.

180. Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara maruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.

Surah An Nisa (4), ayat 11

11. (Pembahagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.

Amalan berwasiat sangat digalakkan sehingga Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak di wasiatkan, tidak sepatutnya bermalam dua malam, melainkan dalam keadaan wasiatnya telah siap ditulis disisinya.”

Diriwayatkan oleh Bukahari dan disampaikan oleh Abdullah Bin Omar.

Terdapat juga Nabi Muhammad SAW menggalakkan berwasiat bagi mendapatkan keampuan Allah SWT. Ia diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Nabi bersabda “Sesiapa yang mati dalam keadaan telah meninggalkan wasiat, nescaya dia mati atas jalan Allah dan sunnah Rasulnya, mati atas taqwa dan syahadah, serta mati dalam keadaan diampunkan.

Amalan berwasiat juga menjadi kebiasaan dikalangan para sahabat kerana mereka berwasiat bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Baca : 12 Panduan Wasiat

iii) Hibah

Bagi hibah pula boleh rujuk dari Al Quran dan hadith nabi seperti dibawah:

Surah Nisa (4) / ayat 4

4. Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.

Surah Al Bakarah (2) / ayat 177

177. Dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta.

Surah Ali Imran (3) / ayat ke 133 dan 134.

133. Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

134. (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Kita juga boleh rujuk hadith Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah r.a mendengar Nabi bersabda “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” Riwayat Al-Bukhari.

Baca : Memahami Hibah Dalam Islam

1.2. Rukun Dan Syarat

i) Rukun faraid adalah:

i) Si mati

Apabila pemilik harta telah meninggal barulah harta yang dimilikinya boleh di bahagikan secara faraid. Tanpa kematian, tiada harta yang akan diagaihkan secara faraid.

Kematian ini terbahagi kepada dua, iaitu:

Kematian hakiki. Kematian yang kebiasaanya berlaku dimana-mana dengan proses seperti dimandikan jenazah, dikafankan, disembahyangkan dan ditanam ditanah perkuburan. Ia dapat dibuktikan dengan sijil kematian yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Kematian hukmi. Kematian yang tidak melalui proses kebiasaan yang kita lihat. Ia ini tidak dapat dipastikan secara nyata tetapi telah diputuskan oleh mahkamah.

Keadaan ini akan menyulitkan waris, maka waris boleh memohon Anggapan Kematian di Mahkamah Tinggi Sivil, dibawah Seksyen 108, Akta Keterangan, 1950, (disemak 1971) .

Individu tersebut boleh dianggap atau disahkan tarikh kematian apabila sudah 7 tahun waris tidak mendengar khabar beritanya dan usaha mencari sudah dijalankan.

Tarikah kematian akan ditentukan berdasarkan tarikh yang telah ditetapkan oleh hakim.

ii) Waris

3 perkara yang melayakkan mereka mewarisi harta adalah melalui:

  • Perkahiwnan yang sah
  • Keturunan
  • Pembebasan hamba

iii) Harta

Harta ini sudah pasti milik si mati yang boleh diagihkan secara faraid. Antara jenis harta adalah harta tidak alih seperti rumah atau hartanah dan harta alih seperti kereta, tunai dan lain-lain.

ii) Rukun Dan Syarat Wasiat Adalah:

4 Rukun wasiat:

  • Pewasiat
  • Penerima wasiat
  • Harta yang diwasiatkan
  • Sighah

Syarat pewasiat

  • Pewasiat mestilah berakal dalam memberikan bahagian hartanya
  • Baligh
  • Berbuat dengan rela hati

Syarat penerima wasiat

  • Penerima wasiat hidup ketika kematian pewasiat atau pemilik harta
  • Penerima wasiat bukan dikalangan waris
  • Janin yang disahkan hidup boleh menjadi penerima wasiat

Syarat harta

  • Barang yang sah disisi syarak
  • Barang yang diwasiatkan mestilah dinyatakan dengan spesifik
  • Harta yang diwasiatkan tidak melebihi 1/3 dari jumlah hartanya

Sighah

Sighah dalam wasiat hanyalah ijab semasa hidup pewasiat, kabul penerima wasiat hanya dikira selepas pewasiat meninggal dunia.

iii) Rukun Dan Syarat Hibah Adalah:

Rukun Hibah

  • Penghibah (Pemberi hibah)
  • Penerima Hibah
  • Barang / Harta Hibah
  • Akad Hibah

Syarat Penghibah (Pemberi hibah)

  • Dia adalah pemilik kepada harta tersebut
  • Berfikiran waras
  • Telah cukup umur (baligh)
  • Berkelayakkan menguruskan harta miliknya
  • Dilakukan dengan rela hati tanpa dipaksa untuk buat hibah

Syarat Penerima Hibah

  • Penerima hibah mestilah layak untuk terima barang hibah tersebut walaupun di bawah umur mahupun OKU. Bagi bawah umur dan OKU, harta mereka akan diserahkan kepada pemegang amanah yang dilantik.
  • Penerima hibah hidup ketika proses hibah berlaku

Syarat Barang / Harta Hibah

  • Harta yang sah di sisi syarak
  • Ia wujud ketika ijab dan qabul berlaku
  • Bernilai
  • Milik penghibah

Syarat Akad Hibah

  • Lafaz ijab, ia diungkapkan oleh penghibah kepada penerima
  • Lafaz qabul, ia diungkapkan oleh penerima sebagai tanda terima harta tersebut

1.3. Kadar Yang Boleh Diserahkan

Kadar faraid yang bakal diterima telah ditetapkan dalam Al Quran surah An Nisa 11, 12 dan 176.

Bagi wasiat pula, kadar yang ditentukan hanya 1/3 daripada keseluruhan harta. Jika pewasiat mewasiatkan melebihi 1/3, maka persetujuan ahli waris diperlukan. Andai waris tidak setuju, maka penerima hanya layak 1/3 sahaja.

Ini kisah Sa’ad Bin Abu Waqqas yang bertemu Nabi Muhammad SAW, hadis ini di riwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.”

Para sahabat juga tidak mewasiatkan melebihi daripada 1/3. Saidina Abu Bakar 1/3 bahagian, Saidina Ali 1/5 bahagian dan Saidina Umar 1/4 bahagian sahaja.

Seandainya ahli waris ingin agihkan secara sama rata, boleh dengan syarat semua ahli waris mesti reda dengan kadar yang akan diterima.

Perlu diingat, pembahagian harta secara faraid disertakan dengan tanggungjawab sekali. Bahagian faraid unuk lelaki lebih besar daripada waris perempuan kerana tanggungjawab yang dipikul oleh lelaki lebih besar.

Berbeza dengan hibah, penghibah boleh menetapkan kadar itu sendiri. Tiada terhad kepada 1/3 sahaja malah boleh dilaksanakan tanpa persetujuan waris-waris.

Walaubagaimanapun, pendapat jumhur ulamak iaitu Maliki, Syafie dan Hanafi menyatakan adalah sunat untuk memberikan harta secara sama rata dan pemberian yang melebihkan salah seorang daripada mereka adalah makruh, walaupun pemberian itu sah.

Keadilan sangat diutamakan menurut mazhab Hambali. Berdasarkan Imam Malik tidak sah hibahkan semua hartanya kepada anak tertentu.

1.4. Penerima

Faraid hanya kepada ahli waris yang layak terima, manakala bagi wasiat 1/3 adalah kepada bukan ahli waris. Manakala bagi hibah pula, penghibah bebas untuk menyerahkan kepada sesiapa sahaja.

Baca : Hibah Kepada Anak

1.5. Pelaksanaan

Pembahagian faraid akan dilaksanakan selepas ditolak kos urusan jenazah, hutang dan wasiat. Jika ada tuntutan daripada pasangan maka perlu diselesaikan terlebih dahulu, baki harta barulah difaraidkan.

Pelaksanaan wasiat juga dilaksanakan selepas pewasiat meninggal dunia. Hibah pula boleh dilaksanakan semasa hidup atau selepas penghibah meninggal dunia.

Antara aset yang boleh dihibahkan adalah hartanah dan tunai. Bagi rumah yang masih dalam hutang juga boleh dihibahkan asalkan memenusi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarikat amanah.

Baca : Apa Itu Hibah Rumah Bercagar

Hibah takaful juga mendapat perhatian masyarakat kerana pampasan diberikan secara hibah kepada penama yang dinamakan.

Baca : Kepentingan Dan Kelebihan Hibah Takaful

2. Antara faraid, hibah dan wasiat mana satu yang terbaik?

Secara umumnya semuanya baik dan ia bergantung kepada situasi individu itu sendiri. Antara faktor yang mempengaruhi seseorang berbuat keputusan faraid, hibah dan wasiat adalah:

2.1. Ilmu yang dimiliki

Ia mampu mempengaruhi keputusan yang mereka buat. Jelas tak? Maksudnya dia dah tahu apa yang dia nak buat dengan harta tersebut. Tinggal nak melaksanakan sahaja hasrat tersebut. Mudahkan? Hanaffi biasa jumpa orang macam nie, dia banyak membaca.

2.2. Waris faraid

Perlu fahami faraid kerana ia pasti akan memudahkan pemilik harta untuk merancang harta yang akan ditinggalkan. Wajib belajar walaupun asas sahaja.

Baca : Apps Kiraan Faraid – ifaraid Calculator

2.3. Hubungan kekeluargaan

Pada pendapat Hanaffi ini yang paling kritikal. Jika hubungan baik dan saling tolong-menolong insyaAllah segala urusan kemudian hari akan baik. Tapi jika sebaliknya, baru meninggal saja dah huru-hara sekeluarga arwah dibuatnya. Banyak kes macam ini…

3. Persoalan Yang Harus Difikirkan

Ramai juga yang menyatakan “Lebih baik hibah dari faraid atau wasiat.” Kenyataan ini banyak digunakan oleh golongan yang nak lariskan produk hibah semata-mata.

Jika kita perhatikan cara terbaik untuk pembahagian harta pusaka adalah dari Allah SWT iaitu FARAID! Sebab Dia yang ciptakan kita dan lebih mengetahui dari segala-galanya. Cuma keadaan masyarakat kita sudah tersimpang jauh dari rahmat Allah SWT.

Contohnya jika berlaku kematian, apa yang berlaku selepas tu? Masing-masing berebut harta dan tidak mahu mengalah. Akhirnya faraid yang dipersalahkan, wajarkah begitu?

Dimana akhlak yang patut dibawa atau menjadi cermin kita sebagai orang islam? Orang kita bila bercerita bab hukum mengenai kahwin lebih dan harta memang pandai. Tapi bahagian yang paling penting iaitu akhlak seperti toleransi, kerjasama, kasih sayang tiada!

Orang kita juga kurang peka bab pengurusan harta. Disangkanya hanya faraid akan menyelesaikan segala masalah, tetapi pada hakikatnya tidak! Bahagian pengurusan harta tersebut bagaimana? Akan terus selesai tanpa diuruskan? Siapa nak urus? Apa harta yang ditinggalkan? Dimana? Akhirnya lewat pembahagian.

Bab mencari harta laju je kejar, tapi bab pengurusan selepas mati buat tak tahu jer. Sebab itu pentingnya perancangan dan pengurusan harta.

Tidak dinafikan, hibah juga menjadi pelengkap kepada pengurusan harta masa kini dan ia menjadi keperluan atas sebab tertentu. Cuma perlu pastikan hibah tersebut dilaksanakan dengan sempurna dan sah di sisi undang-undang.

Jadi, pentingnya memahami terlebih dahulu faraid / hibah / wasiat sebelum merancang harta pusaka yang bakal ditinggalkan kelak agar ia tidak menjadi bebanan kepada ahli waris.

Baca : Siapa Perlu Hibah Dalam Perancangan Harta Pusaka

Baca : Pengurusan Harta Pusaka

Harta sepencarian juga adalah salah satu cara untuk menuntut hak selepas kematian pasangan, walaubagaimana ia mengambil masa yang panjang dan kos yang tinggi bagi melantik peguam untuk menguruskan tuntutan tersebut.

Tuntutan harta sepencarian wajib diselesaikan terlebih dahulu (jika ada) sebelum diagihkan secara faraid.

Baca : Proses Tuntutan Harta Sepencarian

4. Kesimpulan

Anda perlu merancang harta agar ia menjadi amal kebaikan yang diterima Allah SWT serta memudahkan urusan waris-waris faraid.

Hibah tidak boleh dibuat hanya untuk mengelak daripada faraid atau merasakan faraid adalah tidak adil. Pemberian secara hibah digalakkan dengan tujuan mengeratkan hubungan keluarga dan ikhlas kerana Allah SWT.

Bagi mengelakkan masalah atau perbalahan dikemudian hari, penghibah sangat disarankan buat hibah secara bertulis dan didokumenkan. Dokumen ini hanya disediakan oleh pihak peguam atau syarikat amanah sahaja.

Ini bagi mengelakan pertikaian sehingga terbatalnya hibah tersebut.

Baca : Soalan Lazim Hibah

Baca : 9 Kelebihan Hibah Amanah Anda Perlu Tahu

5. Hubungi Kami

Pihak kami dapat membantu anda menyediakan dokumen hibah bagi harta yang ingin dihibahkan. Anda boleh hubungi En Hanaffi Idris 016-5577653 untuk khidmat nasihat berkaitan hibah.

Jika terdapat soalan, sila komen dibawah. Kami akan reply segera.

 

Atau jika terdapat sebarang kemuskilan dan ingin diselesaikan dengan segera
boleh h
ubungi saya untuk pertanyaan di 016-5577653

atau

Whatsapp (klik button dibawah)

author avatar
hanaffi idris

Share This Post

Dapat E-Book Hibah Percuma

Khas untuk anda

One Response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nak kami bantu anda?

Hubungi segera untuk sesi konsultansi percuma

© 2021 SEZARAH NUR VENTURE (SA0388691-M) . All rights reserved

hanaffi.com

error: Content is protected !!