Banyak pertikaian atau perbalahan antara waris disebabkan wasiat dibuat secara lisan sahaja. Antaranya waris-waris menganggap perkara tersebut dibuat-buat walaupun arwah menyatakan dengan jelas.
Walaupun wasiat secara lisan diterima, tetapi ia memerlukan pengesahan daripada pihak mahkamah bagi membuktikan kesahihan wasiat tersebut.
Untuk pengesahan wasiat tersebut boleh dibuat di mahkamah syariah berdasarkan Seksyen 61(3)(b)(v), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Jika mahkamah mendapati wasiat tersebut tidak sah, maka pembahagian perlu dilaksanakan secara faraid.
1. Hukum Wasiat Lisan
Kita rujuk rukun wasiat terdapat 4 iaitu pemberi wasiat, penerima, harta yang diwasiatkan dan sighah. Sighah dalam wasiat hanyalah ijab semasa hidup pewasiat.
Dalam Seksyen 3, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 telah memperuntukkan berkenaan wasiat yang dibuat dengan lisan, tulisan, atau isyarat iaitu:
“(1) Sesuatu wasiat boleh dibuat dengan lisan atau tulisan dan jika orang yang hendak membuat wasiat itu tidak dapat melakukan sedemikian, wasiatnya bolehlah dibuat dengan cara isyarat yang boleh difahami.
(2) Sesuatu wasiat lisan atau wasiat dengan isyarat hendaklah dibuat di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh diterima sebagai saksi menurut Hukum Syarak.”.
Hukum wasiat lisan dalam islam adalah sah.
2. Pembuktian Wasiat Secara Lisan
Kadangkala terdapat seseorang si mati sama ada arwah bapa atau arwah ibu mewasiatkan kepada kita berkenaan hartanya semasa hayatnya secara lisan sahaja.
Wasiat secara lisan sama ada wujud saksi ataupun tidak, ia perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk memohon perintah pengesahan wasiat.
Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan wasiat orang Islam sebagaimana diperuntukkan di bawah Subseksyen 61(3), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut;”.
Manakala dalam Kaedah 23, Kaedah-Kaedah Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 2008 memperuntukkan bahawa:
“(1) Setiap permohonan pengesahan wasiat hendaklah dibuat di Mahkamah Syariah melalui notis dalam Borang B yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan disokong dengan afidavit bersumpah.
(2) Setiap permohonan pengesahan wasiat hendaklah menyatakan dengan sepenuhnya jenis perintah yang dipohon dan mengandungi fakta yang cukup terperinci berkenaan wasiat pewasiat.
(3) Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah bukti kukuh pengesahan wasiat yang dibuat oleh pewasiat dan hendaklah mengikat waris, wakil persendirian, pentadbir dan pemegang amanah.
(4) Subkaedah (1), (2) dan (3) hendaklah terpakai sekiranya timbul pertikaian daripada mana-mana pihak.”.
3. Kesan Meninggal Tanpa Wasiat Yang Sah
Ya, sudah pasti akan terdapat kesan apabila meninggal tanpa wasiat yang sah disisi undang-undang. Antara kesannya adalah :
3.1. Harta Beku
Harta pusaka si mati akan dibekukan sehingga proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir selesai. Surat Kuasa mentadbir adalah kunci kepada pengurusan harta pusaka.
3.2. Perbalahan Antara Waris
Perkara yang penting sebelum mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir adalah melantik pentadbir dikalangan waris. Sekiranya tanpa persetujuan, maka Surat Kuasa Mentadbir tidak dapat dikeluarkan, pentadbir ini mesti dilantik dikalangan ahli waris bagi menguruskan harta pusaka si mati.
Baca : Pengurusan Harta Pusaka
3.3. Pembahagian Secara Faraid
Pembahagian akan terus diuruskan secara faraid. Jika terdapat arahan atau pesanan dari si mati untuk agihkan hartanya kepada badan kebajikan, ia perlu persetujuan kesemua ahli waris dengan rela hati.
Begitu juga jika ahli waris ingin agihkan secara sama rata.
Baca : Kadar Dan Syarat Bagi Setiap Ahli Waris
3.4. Permohonan Sijil Faraid Diperlukan
Andai berlaku pertikaian tentang pengesahan ahli waris, permohonan Sijil Faraid diperlukan bagi memudahkan mahkamah menentukan kesahihan dan pembahagian kadar setiap ahli waris.
Permohonan Sijil Faraid boleh dibuat di mahkamah syariah.
Baca : Cara Dapatkan Sijil Faraid
3.5. Hak Penjaga Harta Anak Bawah Umur
Bagi kematian suami, segala bahagian faraid anak bawah umur akan dipegang oleh bapa si mati. Berdasarkan Enekmen Keluarga Islam, ayah si mati bertindak sebagai wali mal bagi cucunya.
Jika ayah si mati telah meninggal dunia, maka harta tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya. Ini adalah amalan biasa yang dilakukan di Malaysia.
Walaupun isteri masih hidup, si isteri tidak dapat menguruskan harta tersebut. Ini pasti akan menyusahkan isteri.
Baca : Memahami Hibah Dalam Islam
3.6. Penjamin Diperlukan
Bagi aset si mati yang melebihi RM 2 juta keatas, waris perlu menyediakan 2 orang penjamin yang mempunyai nilai harta yang sama dengan harta si mati.
Penjamin untuk menjamin bahawa Pentadbir akan mentadbir pusaka hingga selesai dan amanah. Jika Pentadbir tidak amanah, maka harta penjamin kena serahkan hartanya sebagai ganti.
Tetapi biasanya lawyer akan minta pengecualian dan boleh dapat pengecualian. Tetapi ada juga kes yang mahkamah minta penjamin.
Biasanya mahkamah meluluskan tanpa penjamin melainkan tiada kerjasama ahli waris.
Penjamin tidak diperlukan jika wasiat si mati di uruskan oleh syarikat amanah.
3.7. Lewat Uruskan Pusaka
Perkara ini boleh berlaku jika waris-waris masih sibuk dengan urusan peribadi. Proses uruskan pusaka ini memerlukan komitment masa dan pengetahuan. Ia boleh berlarutan hingga bertahun lamanya jika tidak diuruskan.
Perkara ini boleh diatasi dengan membuat wasiat dari syarikat amanah dan melantik syarikat amanah sebagai pentadbir.
Pengurusan dari syarikat amanah lebih pantas dan tidak terlibat dengan masalah peribadi.
3.8. Pemilikan Tanpa Hak
Kebayakkan waris tidak mengetahui pengetahuan dalam ilmu faraid sehingga berlaku penindasan dalam pengurusan harta si mati.
Tanpa ilmu yang mencukupi, pentadbir membahagikan aset secara sesuka hati dan lebih merumitkan keadaan, pentadbir tersebut membolot keseluruhan harta pusaka.
Selagi urusan tidak dibuat mengikut undang-undang, maka setiap waris telah memakan harta haram termasuklah pentadbir yang pecah amanah.
Antara aset yang biasanya terjadi adalah KWSP.
3.9. Rumah / Tanah Terbiar
Apabila ditangguhkan urusan pusaka, maka aset hartanah yang ditinggalkan tidak akan dimanfaatkan atau memberi manfaat kepada waris-waris.
Waris-waris juga tidak ambil peduli dalam tanggungjawab menguruskan rumah / tanah tersebut, cukai juga tidak dibayar dan dibiarkan ia usang.
3.10. Dokumen Hilang
Dokumen-dokumen penting seperti sijil kematian, geran dan seumpamanya boleh lupus atau hilang dari waris.
Jika hilang akan menyukarkan waris-waris membuktikan sebarang tuntutan berkaitan pusaka.
Urusan pusaka tidak dapat dijalankan jika tiada sebarang dokumen berkaitan harta pusaka si mati.
3.11. Keterangan Palsu
Penulis pernah menerima aduan yang hak pusakanya dinafikan kerana terdapat dikalangan waris memberi keterangan palsu berkaitan sijil faraid.
Penipuan ini berlaku atas sebab kedengkian atau terdapat waris ingin memiliki keseluruhan harta tersebut. Akhirnya hak pusaka tidak dapat diagihkan secara jujur dan amanah.
3.12. Putus Hubungan Keluarga
Perbalahan antara waris boleh berlaku apabila timbul iri hati dikalangan waris.
Adakalanya ia berlaku disebabkan mereka tidak mempercayai diantara satu sama lain.
Pihak yang menunggu juga sentiasa mendesak dan kuatir pentadbir akan membolot segala harta pusaka si mati.
3.13. Status Pemilikan Tidak Jelas
Selagi urusan pusaka tidak dibuat, maka status hakmilik tanah masih lagi atas nama si mati, apa yang membimbangkan waris-waris membina rumah di tanah tersebut.
Apabila waris-waris meninggal dunia pula, rumah tersebut tidak dapat diwarisi dan sangat rumit untuk diselesaikan urusan.
3.14. Hutang Tidak Diuruskan
Dikuatiri apabila diuruskan oleh waris yang kurang kompetent, hutang si mati tidak diuruskan oleh waris dengan sebaiknya.
Mereka mengagihkan harta kepada waris-waris tetapi hutang diabaikan.
4. Kesimpulan
Kedudukan wasiat lisan adalah sah disisi syarak, walaubagaimanapun wasiat secara bertulis (Rasmi) adalah amat disarankan bagi mengelakkan pertikaian dikemudian hari.
Bagi wasiat yang dipertikai, ia wajib mendapatkan pengesahan daripada mahkamah syariah. Anda disaran merujuk 12 Panduan Wasiat bagi merangka dan menulis wasiat yang selari dengan syarak.
Baca : Wasiat Hak Penjagaan Anak
5. Hubungi Kami
Pihak kami mampu menyediakan dokumen hibah dan sempurnakan penyerahan hibah kepada penerima. Hubungi En Hanaffi Idris 016-5577653 untuk dapatkan khidmat nasihat berkaitan hibah.
4 Responses
baru tahu, wasiat secara lisan ni sangat berisiko dan penulisan wasiat adalah penyelesaian yang muktamad. indahnya islam
betul. nanti semua orang nak claim itu dan ini. byk sgt dah isu mcm nie.
Assalamualaikum,, saya incin bertanya .. nenek saya Ada buat wasiat amanah raya dan lawyer wasiat … saya cucu .. Adakah saya Berhak keatas tanah tu … tu .. sebab pakcik saya Ada buat tunttutan wasiat tapi meraka tidak memberi tahu pihak hakim wasiat yang Nenek Ada buat wasiat pada saya
wasalam.. jika urusan pusaka dah selesai.. nak batalkan perintah sedia ada perlu dapatkan perintah mahkamah. bukan perkara mudah, dan perlukan kos yang besar untuk urusan ini.